'Kalimah Toibah Melahirkan Generasi Bertaqwa'

assalamualaikum Pictures, Images and Photos


Pena Tok Guru

Himpunan Berita PASWP

Sila Clicks

Thursday, April 1, 2010

Full View RM52 BILION SAHAM BUMIPUTERA HILANG : UMNO/BN PENGKHIANAT?

Parti Islam Semalaysia (PAS) kesal di atas pengkhianatan kerajaan Umno/BN yang dengan kehilangan RM52 bilion saham bumiputera. Siasatan menyeluruh mesti dibuat ke mana lesapnya nilai saham yang begitu banyak yang diperuntukan kepada Bumiputera. Siapakah dalang yang mengkhianat hak Bumiputera perlu disisasat. Menteri yang bertanggungjawab mesti disiasat dan meletak jawatan.
PAS yakin dengan peruntukan wang sebanyak itu, pemilikan ekuiti bumiputera akan mencapai melebih daripada 30%. Tetapi akibat pengkhianatan amanah dan kejahilan pemimpin Umno/BN  maka ekuiti bumiputera hanya mendapat 19.4% sahaja.
Mereka juga menjadikan modal supaya rakyat yang  miskin akan menjadi abdi moden dan takut untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat. Kerajaan Umno/BN memahami bahawa rakyat yang ,miskin adalah stok penimbal setiap kali pilihanraya. Memang kajian menunjukan rakyat yang miskin dan kurang pengetahuan begitu kuat bergantung dengan kerajaan melalui projek mee segera yang diberikan setiap kali pilihanraya
  Pas menyedari bahawa kemiskinan yang dirancang supaya ia menjadikan modal dan halwa manisan untuk orang-orang Melayu/Bumiputera akan terus menyokong Umno/BN dalam setiap kali pilihanraya. Kerajaan Umno/BN memahami bahawa rakyat miskin adalah stok penimbal setiap kali pilihanraya. Memang kajian, menunjukkan rakyat yang miskin dan kurang pengetahuan begitu kuat bergantung dengan kerajaan terutama janji yang ditaburkan setiap kali pilihanraya.
Umno/BN akan mencanang bahawa Melayu mundur kerana ia adalah akibat ancaman daripada  orang bukan Melayu. Mereka mendakwa kalau orang Melayu mahu selamat maka teruslah bersama dengan Umno/BN kerana Umno sahaja  parti yang menjaga ketuanan Melayu di negara ini. Sebenarnya atas nama ketuanan Melayu menjadi tiket kepada mereka untuk menggadai hak orang Melayu di negara ini.
  PAS berpendapat buatlah apa dasar sekalipun jika tidak membuang sifat pembaziran, rasuah dan ketirisan dan salah urus, maka dasar Model Ekonomi Baru (MEB) juga akan mengulangi kegagalan DEB sebelumnya, kerana pelakon yang sama  membawa watak yang sama.
Ust Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

BUANG BAYI : APA YANG PAS TELAH USAHAKAN

Nampaknya semua media arus perdana memfokuskan isu  pembuangan bayi di negara ini. Seperti biasa pemimpin negara mengecam perbuatan tersebut dengan ucapan yang menggambarkan kekesalan terhadap gejala tersebut, ada yang sebak menangis  mengenangkan peristiwa tersebut.  Saya mendapat respon banyak dalam Facebook saya, apa pula yang PAS buat untuk mengatasi masalah ini. Apakah PAS hanya pandai menyalahkan pihak kerajaan  sahaja dalam isu ini. Inilah nasib malang PAS kerana apa yang PAS buat tidak diketahui oleh masyarakat. Media perdana tidak menyebelahi PAS, sehingga masyarakat tidak mengetahui apa yang PAS buat. Mereka menganggap bahawa PAS hanya sebuah parti politik untuk mendapat kuasa sahaja. Seolah-olah PAS tidak memperdulikan persoalan, moral dan akhlak remaja.
Saya ingin tegaskan sebagai sebuah parti Islam dasarnya ialah Islam dalam perkara 3 “Dasar Pas ialah Islam”. Maka jelaslah bahawa Islam yang hendak ditegakkan berbeza dengan apa yang hendak dipejuangkan oleh Umno/BN di negara ini. PAS bukan sahaja sebagai parti politik tetapi ia adalah Gerakan pelitik dan gerakan Dakwah. Walaupun aktiviti Pas nampak lebih menonjol dalam politik, sebenarnya PAS juga sebagai gerakan dakwah. Justeru itu walaupun tarikh pilihanraya masih jauh, sebagai  gerakan dakwah terus berjalan sebaik sahaja pintu pagar tempat mengundi ditutup. Dalam erti kata yang lain PAS akan bergerak sebagai sebuah parti Islam bagi menyebarkan risalah Allah di  muka bumi ini.
PAS menggunakan pendekatan dalam membendung gejala buang bayi ini dengan kaedah mencegah dan menguatkuasakan undang-undang. Ada tohmahan PAS hanya hendak pakai undang-undang tanpa mendidik. Maka di bawah ini adalah jawapannya.
Antara program yang dilakukan untuk membendung gejala  yang tidak bermoral supaya tidak berlaku pembuangan bayi ialah;
-Kuliah-kuliah yang  mengisi kefahaman  Islam dan penghayatan melalui ustaz dan tenaga pengajar PAS di masjid dan di surau. Pendidikan supaya mereka berakhlak dengan akhlak Islam. Kerana penghayatan agama adalah benteng yang paling kukuh dalam memerangi gejala ini.
-Pemuda Pas melalui program “Duta Penyelamat” yang turun berjumpa secara langsung dengan golongan muda mudi. Berjumpa dengan mereka yang duduk berduan yang boleh menjurus kepada perzinaan dengan penuh kasih sayang,  menasihati mereka supaya mereka tidak melakukan perbuatan yang menghampiri zina.
-Pemuda dan Nisa’ turun ke padang  bertemu dengan remaja yang datang ke tempat bandar besar pada hari keramaian seperti awal tahun baru dan sambutan kemerdekaan. Remaja dibekalkan dengan risalah kesedaran untuk mereka menjadi manusia yang jauh daripada perbuatan zina. Kerana malam itu ialah malam pesta anak muda yang menggerunkan kita sebagai orang yang beriman dan bimbnag tentang masa depan mereka.
-Di Kedah ada satu NGO yang dikendalikan oleh ahli PAS membuat kerja lapangan yang begitu menakjubkan iaitu LANDAS yang berpusat di Sungai Petani. Kumpulan ini telah bertindak membimbing mereka yang terjebak dengan kehancuran hidup seperti dadah, arak, pelacur. Mereka turun dengan bersemuka dan cuba membimbing mereka untuk kembali ke pangkal jalan.
-Di Selangor, kerajaan Pakatan Rakyat telah mengamanahkan kepada Exco Pas Dr Halimah untuk mengendalikan Program Pembangunan Modal  Insan dengan kewujudan SPIES (Spirtual, Physical,Intellectual, Emotional, Social). Semua acuan yang dibuat melalui program belia remaja adalah menjuruskan kepada pembinaan jati diri remaja di negara ini.
-Di Kelantan adanya Unit Belia, untuk mengendalikan program belia seperti bina insan, sukan rekreasi, kursus motivasi
 -Program hidup sihat diperkanalkan supaya hidup remaja terisi dengan memperkenalkan program sukan melaui Lajnah Sukan Dan Rekreasi Pemuda. Ini bertujuan untuk membuktikan bahawa dalam Islam juga ada sukan dan PAS bukan anti sukan.
-Kempen jauhi arak telah dibuat, kerana arak adalah ibhu segala maksiat yang  boleh menjuruskan kepada perzinaan.
-Untuk mengelak supaya faktor rangsangan seks dapat diatasi, maka pihak Dewan Pemuda PAS pernah berjumpa dengan Kementerian Dalam Negeri dengan membawa contoh majalah lucah yang bercambah di pasaran untuk dijadikan bukti supaya pihak KDN bertindak, malangnya dijawab kalau rakyat kita kuat iman maka tidak menjadi masalah. Pas bimbang majalah seperti ini yang merangsang nafsu seks kepada pembaca. Kalau yang boleh pihak kerajaan kawal pun mereka tidak buat apa-apa, apa tah lagi hendak diharap untuk kawal alam siber.
- Kempen supaya mengalakkan budaya hedonism di lancarkan supaya rakyat terutama remaja dapat mengelak untuk mendekati dengan budaya yang tidak sihat.
-PAS telah melatih anak-anak kecil lagi melalui pendidikan pra sekolah, sejak umur 4 tahun melalui Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Anak-anak kecil diajar supaya memakai pakaian menutup aurat, cintakan akhlak Nabi, doa dan hafalan ayat-ayat lazim. PAS menganggap mereka ialah generasi yang akan mewarnai zaman akan datang.
-Kelantan memperkenalkan kaunter berasingan di pasaraya. Semua ini sebagai langkah menutup pintu perzianaan.
-Kelantan mengadakan setiap tahun sepanjang bulan  Rejab kempen bulan solat. Kerana solat adalah kunci untuk tidak mekakukan kemungkaran. Walaupun usaha ini dipandang remeh tetapi mempunyai impak yang besar.
-Beberapa program smart Muslim dan Smart Solat diadakan untuk melahir generasi yang bertaqwa kepada Allah dan mempunyai jati diri yang kental.
-Setiap kali cuti persekolahan panjang,  PAS telah mengadakan Kem Pembinaan Iman selama 2 hari semalam. Program yang terbuka kepada semua remaja yang berumur 12 tahun sampai 20 tahun.Pengisian ceramah, bengkel, motivasi pelajar cemeralang, qiamullai, tilawah al-Quran.
-Program Unit Amal dan Nisa’ sebagai  satu program alternatif kepada remaja untuk program luaran yang bersifat rekreasi dan bersantai. Sudah tentu ia satu kelainan dengan Rakan Muda dan PLKN.
-Setiap PAS negeri ada program yang tersendiri untuk memastikan remaja belia terbimbing. Contohnya di Kedah ada Kem Bina Shakhsiah. Program yang boleh dijadikan satu alternatif yang menjuruskan kepada pembinaan iman dan taqwa serta kekuatan fizikal.
-Usrah remaja diwujudkan disetiap cawangan PAS, untuk memberi kefahaman Islam kepada  remaja. Pengisian ibadat, akhlak dan adab pergaulan ditekan kepada mereka.
Mungkin orang mempertikaikan kenapa gejala tidak bermoral juga berlaku di Kelantan dan negeri yang PAS kuasai. Jawapannya kerana kuasa negeri amat terbatas, banyak peraturan dikuasai oleh kerajaan pusat. Banyak kuasa seperti polis, kastam, imigresen, Badan Pencegah Rasuah di bawah kuasa pusat. Rangkaian TV dibawah kerajaan Umno/BN, sistem pendidikan kebangsaan di bawah Umno, akta cetak yang membenarkan majalah hiburan di bawah Umno. Secara keseluruhannya ini adalah kegagalan Umno dalam menangani isu ini. Malahan Umno menjadikan ini sebagai senjata untuk terus melekakan rakyat supaya rakyat tidak mempedulikan penyelewingan dan kegagalan mereka menguruskan negara. Mereka tahu apabila belia dilekakan, maka mudahlah mereka mendapat sokongan dan undi dalam pilihanraya.
Sekurang-kurangnya PAS dengan berbagai kekangan telah berusaha membendung supaya menutup pintu perzinaan yang  berakhir dengan pembuangan bayi. Mungkin banyak lagi kekurangan dalam program yang perlu diperbaiki. Walau bagaimanapun usaha PAS adalah lebih baik daripada apa yang kerajaan umno/bn lakukan sehingga keadaan semakin parah.
Ust. Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Wednesday, March 31, 2010

Meneruskan Kepimpinan Pewaris Para Nabi



Ditulis oleh Harakahdaily   
MONDAY, 29 MARCH 2010 04:46

KUALA LUMPUR, 29 Mac - Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (PIC) dan Datuk Dr Haron Din mengekalkan jawatan mereka masing-masing sebagai Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am PAS untuk tempoh lima tahun dari 2010 hingga 2015.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat kedua Majlis Syura untuk sesi ini yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pagi ini.


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, pemilihan semula Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana kelayakannya dan tidak mahu Mursyidul Am PAS itu bersara dari perjuangan.


"Ramai yang layak, tetapi kita anggap beliau yang lebih layak dari orang lain kerana dalam budaya perjuangan Islam tiada persaraan dalam perjuangan.


"Kita tidak mahu tok guru kita bersara dari perjuangan," katanya pada sidang media memaklumkan keputusan tersebut di parlimen hari ini.


Turut serta pada sidang media tersebut, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.


Mengulas lanjut beliau berkata, keuzuran Tuan Guru Nik Aziz bukan masalah besar kerana beliau akan dibantu ahli mesyuarat yang lain.


"Keuzuran beliau boleh dibantu ahli-ahli yang lain kerana keputusan majlis syura bukan individualistik tetapi dibuat secara kolektif," tambahnya lagi.


Selain mereka berdua, turut dilantik ke dalam Majlis Syura dalam mesyuarat mereka yang pertama adalah Datuk Seri Azizan Razak, Ustaz Hashim Jasin dan Ustaz Hassan Syukri.


Kelima-lima mereka dilantik sebagai ahli Majlis Syura dalam mesyuarat pertama mereka minggu lepas. Mesyuarat hari ini membuat perlantikan untuk dua jawatan utama iaitu Mursyidul Am dan timbalannya.


Selain mereka ahli Majlis Syura adalah Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (mewakili Jawatankuasa PAS Pusat).


Mewakili Dewan Ulamak adalah Datuk Harun Taib, Datuk Ahmad Yaakub, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh, mewakili Dewan Pemuda Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dan Ustaz Zaharudin Mohamad dan dua wakil Dewan Muslimat yang nama mereka belum diperolehi.


Ditanya berhubung kenyataan Tuan Guru Nik Aziz semalam yang bersedia berundur, Abdul Hadi berkata ianya menunjukkan sikapnya yang tinggi akhlaknya sesuai dengan tuntutan Islam yang mengajar umatnya untuk tidak meminta jawatan.


"Itu satu moral yang tinggi yang sangat kami hargai. Memang kita dalam Islam diajar tidak meminta jawatan, tidak berebut jawatan dan Islam mengajar orang yang tidak meminta jawatan itu yang layak kita lantik," jelasnya lagi.


Sesi baru Majlis Syura bermula dengan mesyuarat pertama mereka minggu lalu. Dalam mesyuarat di kalangan 12 anggota yang telah dilantik oleh AJK PAS Pusat (4), Dewan Ulama (4), Dewan Pemuda (2) dan Dewan Muslimat (2) itu, lima anggota tambahan dilantik.


Majlis Syura adalah badan tertinggi dalam PAS. Mengikut pindaan terbaru Perlembagaan PAS, anggotanya menjadi 17 orang berbanding 12 sebelum ini dan tempoh sepenggal dipanjangkan dari tiga tahun ke lima tahun.

Wednesday, March 24, 2010

GEJALA BUANG BAYI: PERLU KEPADA KAEDAH PENCEGAHAN

Parti Islam Semalaysia (PAS) memandang berat gejala pembuangan bayi di negara ini. Perbuatan durjana yang lebih teruk daripada zaman jahiliah sebelum Baginda dibangkitkan menjadi Rasul. Gejala ini amat memalukan  negara, kebetulan majoriti yang   terlibat ialah orang Melayu Islam. Fenomena yang berlaku menunjukkan gejala yang tidak bermoral ini semakin parah dan menggambarkan kegagalan kerajaan yang ada pada hari ini gagal untuk mendidik rakyat menjadI manusia yang berguna dan tahu tentang nilai hidup mereka.
Peristiwa ini amat memalukan Islam kerana orang Melayu mewakili penduduk yang beragama Islam.  Secara tidak langsung akan merosakkan imej Islam di pandangan orang bukan Islam di negara ini.

Parti Islam Semalaysia (PAS) melihat bahawa kerajaan Umno/BN pada hari ini tidak serius dalam menangani masalah ini. Ia bukan mencari jalan untuk menutup punca supaya gejala ini tidak berlaku. Ia lebih kepada program yang bersifat menyapu sampah di bawah karpet. Program yang dilaksanakan  untuk mengatasi masalah akhlak lebih berorientasikan perniagaan sesama kroni. Sebab itu projek Rakan Muda dan PLKN semuanya menjurus untuk mengkayakan kroni sahaja. Akhirnya matlamat tidak tercapai, sebaliknya wang negara lesap begitu sahaja walau terpaksa membelanjakan wang berbilion ringgit.
 
Sepatutnya dalam menanggani masalah pembuagan bayi ia mesti bertindak sebagai mana kaedah Islam iaitu  “Saddu Zara’ik” menutup pintu kerosakan. Kerajaan sepatutnya mengawal pusat hiburan, memperkatatkan peraturan iklan yang menghairahkan, mewajibkan pelajar Islam memakai tudung, mengawal pergaulan bebas, kempen menutup aurat, kempen jauhi zina.
Selain daripada mendidik dan mengawal maka kaedah yang paling berkesan ialah mesti kembali kepada hukum yang Allah kenakan kerana hukum Allah  mempunyai roh iaitu “nakala minallah” yang Allah akan melontarkan kegerunan untuk pelaku maksiat menjauhkan perbuatan zina. Sudah banyak cadangan yang kerajaan cadangkan, kita tidak dengar satu pun cadangan untuk kembali kepada apa yang diajar oleh ajaran Islam.

Ust. Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Thursday, March 11, 2010

Liputan berita


PAS Wilayah sedia dedah tembelang Umno

Rusli Islam   

KUALA LUMPUR, 21 Feb:
PAS Wilayah Persekutuan bersedia mendedahkan tembelang sebenar Umno di sebalik lakonan mereka sebagai Juara Rakyat .Pesuruhjayanya, Mohamad Nor Mohamad berkata, ahli mestilah bekerja keras bergerak di dalam masyarakat bagi mendedahkan tembelang Umno itu.

"Isu akan menjadi perkara keburukan sekiranya perkara sebenar tidak sampai kepada masyarakat.
"Isu akan menjadi bererti atau terdedah kepada implikasi (tidak baik) bergantung kepada saudara-saudara (ahli PAS) semua," katanya ketika merasmikan program Taklimat Isu-isu Semasa Peringkat PAS Wilayah Persekutuan di Taman Sri Rampai, Setapak hari ini dan melancarkan Kelab Penyokong Maya PAS Wilayah.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad akan membentangkan kertas kerja berkenaan isu-isu yang berlaku dalam negara dan pelbagai perbuatan jijik Umno di sebalik slogan Juara Rakyat.
Sementara itu Taklimat Mansuhkan PPSMI pula akan diberikan oleh Prof Emeritus Abdullah Hassan.

Agenda pembangunan Kampung Baru masih kabur

Rusli Islam   
KUALA LUMPUR, 21 Feb: Walaupun telah dijanjikan oleh beberapa Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan yang silih berganti semenjak tahun 1990, agenda pembangunan Kampung Baru masih dilihat kabur.  "Semacam tidak ada satu kesungguhan dari pihak kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru ini. Semenjak dari zaman Dr Mahathir (1990) hinggalah sekarang diperkatakan tentang pembangunan Kampung Baru tapi tidak ada satu tindakan kerajaan yang menunjukkan usaha tersebut.
"Masalahnya apabila Perdana Menteri bertukar, pergi lawat Kampung Baru dan berjanji. Apabila menteri (Wilayah) tukar pergi lawat Kampung Baru (dan berjanji)," kata Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad.
Beliau berkata, ketika Umno menjadi wakil rakyat di Titiwangsa, pelbagai program termasuk perbincangan berkaitan pembangunan Kampung Baru selalu melibatkan Ahli Parlimen Umno tersebut.
"Anehnya ketika Pakatan Rakyat menang, tidak ada peranan yang diberikan kepada ahli parlimen kita (Dr. Lo’ Lo’')," ujar beliau.
Katanya, dalam perancangan draf KL 2020, pandangan penduduk telah diketepikan projek berkenaan melibatkan tanah penduduk tersebut.
"Kerajaan berkata rakyat didahulukan tetapi (hakikatnya) rakyat dikemudiankan (dan) menjadi mangsa kepada pembangunan ini," tambahnya.

Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Cikgu Ishak Surin yang merupakan orang lama dalam PAS Wilayah Persekutuan pula berkata, sebenarnya pembangunan Kampung Baru telah diwar-wakan sejak tahun 1974 lagi, semasa beliau menjadi calon di Setapak.

Katanya, janji-janji untuk membangunkan Kampung Baru sering ditaburkan apabila menjelang pilihan raya dan mesyuarat agung Umno tetapi tidak ada hasilnya sehingga kini.Walaupun persekitaran Kampung Baru telah lama dimajukan dan banyak bangunan-bangunan yang telah wujud tetapi ia masih lagi seperti dahulu.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo’ sendiri pernah mencadangkan suatu badan amanah diwujudkan bagi menguruskan Kampung Baru supaya pengurusannya lebih telus dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik pihak tertentu.Tanah yang luasnya kira-kira 103.5 hektar di tengah-tengah Kuala Lumpur itu menjadi mercu tanda penduduk-penduduk Melayu yang berada di tengah ibu kota.

Ketua Penerangan PAS Titiwangsa, Zamri Asad Khuzaimi pula berkata, dalam tempoh tiga tahun, tidak kurang daripada tiga jenis pembangunan yang dipromosikan di Kampung Baru.
"Antaranya ialah Draf  KL 2020 yang sepatutnya telah bermula sekarang. Walaubagai manapun rancangan ini belum pun diluluskan oleh menteri dan Datuk Bandar.

"Projek Puncak Baru pula pernah diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 Mac 2001 lalu dan tidak diketahui apa statusnya sekarang ini," katanya.
Beberapa hari lepas pula katanya, pembangunan komprehensif  Kampung Baru dengan peruntukan sebanyak RM4 juta telah dijanjikan oleh Perdana Menteri.

Beliau yang juga Pengerusi Juham turut mengatakan terdapat percanggahan di antara kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan dalam isu ini."Najib (PM) berkata penduduk tidak perlu pindah dan Raja Nong Chik (menteri) pula berkata sebahagian penduduk perlu pindah," katanya.Katanya, PAS Wilayah juga sangat tidak bersetuju dengan undang-undang baru yang dicadangkan oleh Raja Nong Chik mengenai pembangunan di Wilayah Persekutuan.

Undang-undang itu, mengatakan bahawa semua penduduk dianggap bersetuju sekiranya 80 peratus daripada keseluruhan penduduk bersetuju dengan cadangan kerajaan dalam masalah pembangunan tanah Wilayah Persekutuan.

"PAS memandang ini sebagai ugutan dan provokatif dari Menteri Wilayah. Suatu yang tidak munasabah kerana dalam apa-apa jua pembangunan, kaedah undang-undang adalah yang terakhir," katanya.
Katanya, kaedah pertama mesti diadakan perbincangan yang melibatkan penduduk, Malay Agriculture Settlement (MAS), wakil rakyat, DBKL dan kerajaan.

PAS Wilayah Persekutuan turut menegaskan, semua kampung-kampung warisan tanpa mengira bangsa di sekitar Kuala Lumpur mesti dikekalkan dan pembangunannya juga mestilah memberi manfaat kepada penduduk tanpa memindahkan mereka.

PAS WP kesal polis gempur ceramah PR


Harakahdaily 
KUALA LUMPUR, 10 Mac: Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan mengecam tindakan pihak polis menggempur Majlis Sambutan Ulang tahun Pakatan Rakyat WP di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru 7 Mac lalu.

Penasihat Undang-Undang PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri berkata, tindakan pihak polis yang hadir bersama anggota FRU dan dua trak meriam air bukan sahaja memberi mesej yang sangat negatif terhadap amalan demokrasi di negara ini, malah ia mencabul hak-hak asasi rakyat untuk berhimpun dan bersuara seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Kita kesal dengan tindakan agresif dan biadap pihak polis yang menggempur Majlis Sambutan Ulangtahun Pakatan Rakyat WP.

"Alasan yang diberikan oleh Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Abdul Aziz Zakaria bahawa pihak penganjur tidak mendapat permit adalah alasan lapuk yang sangat dangkal dan tidak berasas sama sekali," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Titiwangsa.

Jelasnya majlis sambutan tersebut diadakan di dalam premis persendirian milik Kerajaan Negeri Selangor dan bukannya dibuat di tempat awam yang terbuka.

Apatah lagi program tersebut adalah satu perhimpunan secara aman yang dimulakan dengan majlis jamuan rakyat dan diikuti dengan ucapan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

"Tidak ada langsung unsur-unsur kekacauan dan trafik berjalan dengan sangat lancar sehinggalah kehadiran pihak polis dan FRU yang bertindak ganas dan biadap dengan membelasah beberapa orang penyokong Pakatan Rakyat sehingga mengalami kecederaan yang teruk," katanya lagi.

Mahkamah Tinggi Kuantan dalam satu kes yang melibatkan pimpinan PAS baru-baru ini telah memutuskan bahawa sebarang program yang dibuat di dalam premis persendirian tidak memerlukan penganjur mendapatkan permit polis.

"Adakah program anjuran Pakatan Rakyat kini dianggap lebih merbahaya dari  kes-kes jenayah ragut, rompak, rogol, bunuh, dadah, curi dan sebagainya yang sepatutnya memerlukan tindakan dan pemantau pihak polis," soalnya.

Apa yang menghairankan rakyat katnya ialah dalam himpunan yang dibuat oleh Pemuda UMNO di hadapan Kedutaan Australia dan perarakan serta demonstrasi haram yang dibuat oleh sebuah NGO di Pulau Pinang baru-baru ini, mereka tidak langsung  "dijentik" oleh pihak polis.

Malah tambahnya tidak kelihatan pun trak-trak meriam air ataupun tembakan gas pemedih mata kepada peserta himpunan haram tersebut walaupun peserta-peserta bertindak liar dengan melakukan pembakaran di atas jalan raya dan membuat ucapan-ucapan yang berbau hasutan dan perkauman.

"Apakah terdapat dua set undang-undang yang berbeza di negara ini? Bilamana ia dianjurkan oleh Pakatan Rakyat, maka undang-undang yang ketat dan disusuli dengan tindakan yang keras dan ganas akan digunakan.

"Sebaliknya, jika ia dianjurkan oleh pihak yang pro-kerajaan, maka secara automatiknya pelaksanaan undang-undang tadi  tidak lagi menjadi penting dan dibiarkan sahaja oleh  pihak kerajaan dan polis," soalnya lagi.

Dalam insiden 7 Mac lalu itu, sepasukan anggota Polis dan FRU menyerbu ceramah sempena dua tahun kemenangan Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan yang diadakan di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

Akibat sebuan itu, tiga petugas Pakatan cedera, seorang cedera di tangan manakala dua lagi lebam pada muka, leher dan kepala.

Monday, February 15, 2010

Keadaan PJ Wilayah Selamat

Alhamdullilah, maklumat terkini sekitar jam 10 malam tadi isnin 15/2/2010 hasil ziarah mahabbah peneranganwp dan para sahabat ke rumah Tuan Haji Mohamad Noor Mohamad menampakkan beliau dalam keadaan baik dan selamat.Beliau mengucapkan terimakasih diatas keprihatinan dan ukhuwah semua peringkat dan berazam dengan komitmen yang tinggi kepada Parti PAS dalam memikul tanggungjawab sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Bagi Penerangan PAS Wilayah Persekutuan juga mengucapkan terimakasih diatas usaha iktiar dan doa dari segenap jentera  Parti PAS ,sahabat  dan orangramai yang membantu menjalankan tanggungjawab masing masing selepas didapati beliau tidak dapat dihubungi semenjak tiga hari yang lalu

Ustaz Amran Alnahrain
Ketua Penerangan PAS WP

Monday, February 1, 2010

Perutusan Khas Sempena Hari Wilayah Persekutuan

Oleh HJ MOHAMAD NOOR BIN MOHAMAD

Bagi pihak PAS Wilayah Persekutuan dan Labuan (PAS Wilayah Persekutuan), saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada 1 Februari 2010 kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan dan Labuan. Sesungguhnya, di bumi Wilayah Persekutuan inilah kita bersama-sama menuai jasa bakti bagi membangunkan sebuah negeri yang menjadi mercu tanda kemegahan rakyat Malaysia.

Umum mengetahui bahawa Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah ibu negara Malaysia. Sebagai ibu negara di sebuah negara maju, ia menjadi tumpuan baik rakyat Malaysia sendiri mahupun pelancong dari luar. Wilayah Persekutuan adalah model kepesatan kemajuan negara lambang kemodenan Malaysia.

Dalam menghadapi hidup di ibu kota yang semakin mencabar, sudah tentu warga Wilayah Persekutuan merasa terbeban dengan pelbagai tekanan hidup. Daripada kenaikan kos hidup yang semakin tinggi, krisis pekerjaan yang serius, gejala sosial yang meningkat, jenayah yang menjadi-jadi, kegiatan ekonomi yang menguncup, masalah trafik yang tidak selesai dan pelbagai lagi masalah yang menimpa. Warga Wilayah Persekutuan amat mengharapkan pembelaan dari kerajaan yang menunjangi negara ini.

Pelbagai perkhidmatan yang dijanjikan dan ditawarkan untuk rakyat amat ditagih bagi menyelesaikan kemelut yang membelenggu rakyat. Dalam hal ini, kita melihat perkhidmatan untuk rakyat yang disediakan kerajaan masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

Antara contoh perkhidmatan yang sedang dibangunkan adalah klinik 1Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini di kawasan penduduk awam. Khidmat kesihatan percuma yang terbaik adalah perlu bagi rakyat Malaysia. Sepertimana banyak yang berlaku di negara maju, kesihatan adalah keperluan yang mesti dipenuhi oleh kerajaan.

Idea dan matlamat Klinik 1Malaysia ini baik, iaitu untuk membantu rakyat khususnya orang awam untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan secara percuma. Namun khidmat kesihatan ini belum benar-benar memenuhi keperluan rakyat apabila kerajaan tidak membekalkan bersama doktor di setiap klinik ini. Yang ada hanyalah pembantu perubatan yang tidak boleh memberi rawatan penuh kepada pesakit. Yang kita harapkan agar Klinik 1Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini setaraf dengan pusat kesihatan di negara maju, setidak-tidaknya setaraf dengan pusat kesihatan milik swasta.

Selain itu, rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang disediakan bagi membantu warga awam memiliki rumah sendiri juga tidak memuaskan. Pelbagai peraturan dan proses yang dikenakakan ternyata amat menekan pembeli rumah PPR seolah-olah mahu menafikan hak milik rumah sendiri kepada penghuni PPR. Sebahagian warga kelas bawahan gagal untuk memiliki rumah PPR akibat dari kos deposit sebanyak RM6,000 yang perlu dibayar dalam masa singkat . Sedangkan ramai yang tinggal di rumah PPR adalah mereka yang berpendapatan rendah, warga emas, OKU, dan ibu tunggal.

Bagi sesi baru pemerintahan YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-enam, Kementerian Wilayah Persekutuan ditukar nama kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. YB Dato Raja Nong Chik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar diharap mampu merealisiasikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat warga Wilayah Persekutuan tanpa mengira latar belakang politik dan ideologi mereka.

Walaupun demikian, kesejahteraan yang diidamkan rakyat sesuai dengan nama kementerian tersebut belum dapat dirasai oleh segenap lapisan rakyat di Wilayah Persekutuan. Masih terdapat kebimbangan mengenai peratusan jenayah yang tinggi di Kuala Lumpur. Antaranya seperti kes ragut, pecah rumah, kecurian, culik, rompak, rogol dan lain-lain. Ia menjadi igauan buruk buat warga untuk meninggalkan rumah di musim perayaan mahupun tinggal bersendirian di rumah.

Selain itu, dadah dan pelacuran masih menjadi masalah besar di ibu kota seperti di Kuala Lumpur ini. Masih banyak sarang penagih dan aktiviti pelacuran dikesan di sekitar Chow Kit,Lorong Haji Taib, Bukit Bintang, Bangsar dan lain-lain. Antara punca berlakunya dadah dan pelacuran ini adalah kerana bercambahnya kelab-kelab malam. Kita merasa kesal dan bertanya mengapakah tiada tindakan berkesan dari pihak DBKL, Polis serta Majlis Agama Islam (MAIWP) untuk menyekat pusat hiburan daripada beroperasi di tengah-tengah bandar setakat ini.

PAS Wilayah Persekutuan amat mengharapkan pihak Kementerian agar segera mensejahterakan penduduk di ibu kota daripada pelbagai gejala sosial yang menimpa anak-anak muda. PAS WP sanggup duduk semeja dengan pihak Kementerian dan agensi kerajaan bagi merundingkan pelbagai aktiviti bermanfaat serta pengisian rohani bagi mengisi masa anak-anak muda.

Kita juga mengharapkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, YB Dato' Nong Chik agar menjadikan insititusi masjid sebagai entiti terpenting pembentukan jatidiri warga Wilayah Persekutuan. Kami mengharapkan urusan masjid diserahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa kariah yang bertanggungjawab mengimarahkan masjid tersebut. Jangan mempolitikkan masjid dengan merampas, melucut atau melantik Jawatankuasa Masjid sesuka hati di samping menyekat program-program keagamaan yang bertujuan membina masyarakat. Dengan ini penghayatan agama Islam dapat dilaksanakan sepenuhnya dengan memberi kebebasan kepada jemaah masjid menentuka aktiviti yang berfaedah buat masyarakat sekitarnya.

Akhir sekali saya mendoakan kesejahteraan dan kebaikan buat semua warga Wilayah Persekutuan yang menyambut Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2010. Semoga kita terus hidup dengan budaya dan suasana yang tenteram, sihat dan aman di Malaysia ini.

Disediakan oleh; HJ MOHAMAD NOOR BIN MOHAMAD
PESURUHJAYA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN 

التطورات على مدار الساعة

Berita Semasa

Berita Semasa
Sumbangan PAS WP kepada Negeri Kedah

Berita Semasa

Berita Semasa
Sumbangan PAS WP Kepada Negeri Perlis

Viva Gaza Palestin

Viva Gaza Palestin