'Kalimah Toibah Melahirkan Generasi Bertaqwa'

assalamualaikum Pictures, Images and Photos


Pena Tok Guru

Himpunan Berita PASWP

Sila Clicks

Tuesday, June 15, 2010

Ustaz Hassan Shukri dalam kenangan

Posted on Monday, June 14 @ 08:43:17 PDT by paktam
Oleh Azamin Amin  
Pemergian Ustaz Hassan Syukri mengejutkan ramai pihak khasnya di dalam PAS. Ia merupakan satu kehilangan besar kepada PAS dan negara. Berikut adalah tulisan yang pernah dibuat wartawan AZAMIN AMIN yang disiarkan oleh akhbar Siasah Oktober 2009.

Belum sempat pun pejuang-pejuang Sungai Manik tiba di Kuala Selangor untuk turun ‘bermandi darah’ di Kuala Lumpur dalam peristiwa 13 mei, dia sudah terpacul tegap menantikan kedatangan mereka. Ketika berdiri di jeti Feri Kuala Selangor dengan badan tegap laksana panglima, dia secara tenang meminta para pejuang itu pulang semula ke Perak

Niatnya hanya satu, mengelakkan lebih banyak nyawa yang terbunuh dan tidak mahu Sungai Klang bertukar merah. Tanpa perlu berpencak atau menghunus sunding yang tersisip di pinggangnya, dia bersuara penuh tertib dan tegas gayanya.


Tidak ada satu biji mata pun melainkandia yang mampu berdepan para pejuang yang digeruni itu. Bimbang suasana akan lebih kecamuk Pengerusi majlis Gerakan Negara ketika tragedi 13 mei 1969, Allahyarham Tun Abdul Razak secara peribadi meminta dia menahan pendekar-pendekar dari kumpulan ‘parang terbang dan selempang merah’ untuk mara ke ibu kota.

Dek kerana menghormati ayahnya yang pernah terlibat dan bertempur dalam beberapa siri dengan peperangan di Sungai Manik pada zaman dulu, para pejuang yang sedang mengelodak jiwa dan amarah itu akhirnya akur dengan permintaannya lalu kembali ke kampung halaman masing-masing.

Namanya cukup tersohor dan hebat di mata kawan dan lawan. malah ketika negara dilanda krisis, Tun Razak sendiri menghubunginya setiap
hari. Sehari kadang-kadang sampai dua kali! Kini nama Hassan Shukri yang selalu meniti di bibir pejuang dan penyokong PAS selama
ini agak kelam dan menyepi. entah mengapa, bekas Timbalan Presiden PAS yang juga antara pejuang terawal parti tertua di malaysia ini
umpama membawa diri. Namun rajuknya tidak ke mana kerana batang tubuhnya masih sebati dengan perjuangan ini.

Hassan Shukri yang dipanggil ‘ustaz’ masih dekat di hati kebanyakan ahli PAS malah kelibat beliau sering kelihatan, sekiranya ada acara rasmi dan majlis ilmu yang dianjurkan di markas PAS Taman melewar, Gombak. Kadang-kadang tanpa segan, beliau menebas dan mencangkul di depan markas walaupun para pemimpin dan ahli PAS sedang menyertai aktiviti di situ.

Baginya kerja-kerja kebun dan kampung sudah berakar umbi dalam dirinya apatah lagi kediaman dan lamannya pula bersebelahan markas itu. Markas yang dahulunya dikenali sebagai Pejabat Agung PAS dan Pusat Tarbiyah sebelum berpindah ke Jalan Raja laut Kuala
lumpur, begitu sinonim
dengan Hassan Shukri.

Masakan tidak idea penubuhan markas itu, datang dari hati nurani ikhlasnya. Bermula dengan modal Rm20,000, beliau membeli sebidang tanah di situ, sebagai tapak awal untuk membina markas.

Kemudian beliau berbincang pula dengan Yang Dipertua PAS, Allahyarham Yusuf Rawa, Pesuruhjaya PAS Perlis, ustaz Hashim Jasin dan ustaz Nakhaei untuk mereka samasama membeli tanah dengan harga sekitar Rm26,000 bagi meluaskan kawasan markas sekitar tahun 1982. Selain menerima sumbangan wang, markas itu turut didirikan secara bergotong royong pada peringkat awalnya.

Kemudian dengan kebijaksanaan Hassan, beliau mengarahkan setiap satu cawangan PAS menyiapkan satu tiang bangunan tanpa menggunakan jengkaut untuk menggali lubang tapak asas.

Semenjak itu, markas PAS Taman melewar telah menjadi tempat persinggahan atau bermalam paling murah di Kuala lumpur kepada orang ramai yang mahu melancong atau berurusan di ibu kota malah hari minggu atau cuti sekolah, banyak bas persiaran serta bas sekolah singgah dan memenuhi laman markas itu.

Lebih menarik, ia menjadi persinggahan paling penting kepada rombongan haji sebelum melapor diri di lapangan Antarabangsa Subang sebelum wujudnya KlIA dan Pusat Transit Tabung Haji Kelana Jaya.

Cetusan idea Hassan itu kemudiannya menjadi buah mulut orang dan menjadikan PAS terkenal di setiap pelosok negara. Hassan dikenali sebagai tokoh yang membangunkan markas PAS dan ramai yang tidak tahu, beliau adalah individu penting di sebalik perlembagaan PAS dan merupakan “buku undang-undang PAS” yang masih hidup serta sentiasa menjadi rujukan.

Menceritakan kisah penyertaannya secara tidak rasmi dengan PAS sewaktu berusia 14 tahun pada 1951; Hassan memberitahu tindakannya itu didorong oleh satu peristiwa unik yang mencetuskan semangatnya untuk mendekati PAS.

“Sebabnya ialah loteri kebajikan yang saya terima daripada guru saya dan saya bawa pulang ke rumah.

“Akhirnya saya dimarahi dan dihamun oleh ayah saya...disebabkan itu, saya mula berjinak-jinak dengan mengikuti aktiviti PAS di kampung dan mula menyertai secara aktif pada tahun 1951,” ujarnya penuh semangat.

Hassan yang memegang nombor keahlian PAS 12,016 itu kemudiannya diberi peluang untuk bertanding di kawasan Parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya umum tahun 1969.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah usaha memujuk, mengugut, ancaman dan merasuah beliau untuk tidak bertanding, namun ditolak mentah-mentah Hassan dengan memberi kata dua yang cukup meninggalkan bekas kepada pencabar dan lawan politiknya. “Saya katakan kepada mereka, kalau nak masukkan guni, cubalah...!” katanya tegas laksana pahlawan yang bermaksud seolah-olah ‘jangan mencari pasal’ dengan beliau.
Beliau turut mengimbau kembali kejadian ceramahnya di Sabak Bernam didatangi oleh beberapa orang berketurunan Jawa Penegoro sambil
menghayunkan senjata parang.

Kebetulan kawannya, Hassan Adli boleh berbahasa Jawa, maka orang-orang yang berparang itu akhirnya “ditumpaskan” hanya melalui kata-kata berbisa.

Hassan juga menceritakan bagaimana musuh politiknya berusaha menjatuhkan maruah dan nama baiknya dengan cuba memerangkap beliau dengan dua orang wanita yang tidak dikenali di Kampung Parit, Sabak Bernam. Dengan  kecekapan perisik-perisik PAS, beliau dinasihatkan untuk tidak memberhentikan keretanya suatu malam apabila diminta
oleh dua wanita terbabit.

“malam itu di tepi jalan berhutan, sudah siap kamera dan beberapa jurugambar mahu memerangkap jika saya memberhentikan kereta untuk ditumpangi oleh dua wanita itu,” katanya sambil menasihati bahawa insiden dan taktik musuh itu masih diguna pakai sehingga sekarang.

Oleh sebab itulah, setiap kali bermesyuarat di Pejabat Agung PAS Pusat di Jalan Raja laut, berdekatan lorong Haji Taib itu, Hassan tidak pernah menggunakan jalan belakang bangunan PAS itu, kerana bimbang ‘diperangkap’ oleh kamera-kamera musuh yang cuba mengaitkannya dengan
penghuni atau pekerja seks lorong hitam itu.

“Saya selalu menasihati beberapa pimpinan PAS untuk berhati-hati berjalan di lorong belakang itu bagi mengelakkan fitnah dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” katanya tersenyum.

Setelah tewas dalam pilihan raya itu, beliau kemudiannya menunaikan haji di makkah dan kisah perjalanannya menuju tanah suci itu, penuh liku-liku dan peristiwa indah yang tidak upaya diluahkan memandangkan masa yang terbatas. memadai katanya, perjalanan itu memakan masa 6 bulan
3 hari!

“Dari Pulau Pinang naik kapal laut. Sampai di madras, kami terus menggunakan jalan darat untuk ke makkah. “Dalam perjalanan ke sana, saya sempat menubuhkan Persatuan melayu Iraq di Baghdad dan setelah menunaikan haji, saya mengahwini isteri tercinta dan dikurniakan 6 orang anak,” katanya bangga dengan pencapaian anak-anaknya itu, meskipun beliau bukanlah seorang yang berharta.

Semasa beliau penuh aktif dalam PAS, Hassan pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung PAS di bawah tiga orang Presiden PAS iaitu Datuk Asri muda, ustaz Yusof Rawa dan Almarhum Datuk Fadhil Noor. Beliau merakamkan semula detik-detik manis selama berada dalam perjuangan
PAS ini sambil menceritakan beberapa kisah mencuit hati yang tidak dapat dilupakannnya.

Antaranya, beliau terpaksa mengendong atau mengangkut pembesar suara (speaker) sejauh empat batu menggunakan basikal, manakala ada perwakilan yang jatuh ke gaung dalam perjalanan ke muktamar PAS tapi tidak mengalami kecederaan.
“Saya pernah merasa pengalaman tidur di Balai Raya Datuk Keramat. Ahli-ahli di situ menyediakan segala kelengkapan seperti bantal, tilam dan selimut untuk para perwakilan dan ahli PAS yang menyertai muktamar ketika itu,” katanya lagi.

Pada sekitar tahun 50-an, muktamar pada ketika itu, nama awalnya lebih dikenali sebagai kongres dan ditukarkan supaya ia tidak menyamai dengan parti-parti lain pada masa itu.

Bezanya dahulu, apabila muktamar berlangsung, semua perwakilan dan ahli-ahli yang datang menumpang teduh di merata-rata sekitar madrasah, pondokpondok agama, balai raya berhampiran dan juga rumah-rumah ahli yang secara sukarela menjadikan rumah mereka sebagai tempat tumpangan.

Beliau dalam masa sama menasihati supaya pemimpin dan ahli melahirkan semangat persatuan dan berpasukan di samping kerjasama yang mantapdan ada peningkatan dalam soal pemikiran dan kerja di semua peringkat.

“Apa jua kekuatan adalah kesatuan dan sahabatsahabat (ahli-ahli PAS) kena tahu ‘style’. Kena faham cara orang kampung bekerja berbeza dan tidak sama dengan orang Shah Alam (bandar) bekerja. “Tulis khutbah pun kena beza. Takkan nak  baca yang sama. Begitu juga pendekatan, ada
yang berhemah, tegas dan adakalanya secara berseloroh,” katanya lagi.

Beliau menasihati pemimpin PAS atasan atau pertengahan, mesti mengetahui serba sedikit suasana dan keadaan masyarakat di malaysia dan
menambah di Nusantara terdapat 6,832 suku seperti Jawa, mandeling, Banjar dan lain-lain yang berjaya disatukan melalui Islam.

“Jangan lupa turun padang dan dekati orang bawahan akar umbi ini. mereka ini kita sapa dan senyum cukup besar hati dah...” kata Hassan yang juga bekas Senator. Selain itu, Hassan sebagai orang lama dalam PAS menyarankan segala masalah atau perselisihan pendapat antara pimpinan-pimpinan PAS disuarakan melalui syura atau mesyuarat dan perbincangan agar ia tidak dipergunakan oleh musuh untuk melaga-lagakan antara satu sama lain.

“Dengan cara itu tidaklah keluar kenyatan yang bercanggah. Kenapa media memainkan isu tertentu, supaya orang Cina dan India berhenti menyokong PAS...itu saja. Jadi jangan biarkan kita terdedah dengan perkara macam itu,” katanya ketika diminta pandangan berhubung isu-isu
semasa.

“malah masuk PAS bukan kerana ikut orang, kalau ikut orang, sudah lama PAS ini terkubur. Sertai dan sokong PAS sebab hendakkan kepada Islam.

“Kita sudah lama tarbiyah ahli-ahli PAS bahawa jangan memuja pemimpin tetapi menjunjung perjuangan Islam,” kata bekas Timbalan Presiden PAS itu yang turut merujuk beberapa kepimpinan yang keluar parti itu seperti Datuk Asri muda dan Haji Ahmad Fuad yang tidak sedikit pun menjejaskan PAS sehingga kini.

Kini Hassan masih menyumbang buah fikiran dan pandangannya kepada PAS sebagai Ahli majlis Syura. Beliau juga masih lagi menyampaikan kuliahnya di Sabak Bernam serta 
memenuhi pelbagai jemputan majlis-majlis agama dan ceramah.

Walaupun usia telah menjangkau 70-an, Hassan masih kelihatan gagah dan berupaya mengingati satu persatu sejarahnya  bersama PAS. Wawancara yang berlangsung hampir dua jam itu terasa begitu singkat, memandangkan kepetahan dan nada selorohnya, membuatkan penulis terpegun dan
asyik dengan kisah lamanya.

“Tulislah dan saya suka bila orang mahu tahu sejarah saya dan PAS. “Bukan apa, setelah saya tiada nanti, apa yang anda tulis itu akan jadi satu dokumentasi sejarah,” katanya tersenyum semula.

Mengakhiri perbualan yang “berlangsung” di kediamannya sendiri Jumaat, 2 Oktober lalu, Hassan sempat menyuntik semangat kepada ahli-ahli PAS seluruh negara supaya sentiasa mengukuhkan perjuangan dan menolak sama sekali fikiran jumud bahawa jika bersama PAS, mereka akan menemui kesukaran dan kepayahan hidup.

“Percayalah...sesiapa yang memperjuangkan Islam, dia tidak akan susah. mungkin tidak kaya tetapi tidak ada yang susah atau tidak makan...Saya sendiri tidak pernah rasa gaji besar tetapi kehidupan saya tidak susah dan alhamdulillah makin bertambah baik.

“Bagi pejuang Islam, apa jua cabaran dan dugaan akhirnya Allah akan tolong juga dan bantu kita untuk teruskan kehidupan...,” katanya sambil mencebiskan nasihat kepada pemimpin agar sentiasa merapatkan saf antara satu sama lain termasuk dengan golongan bawahan supaya parti
akan terus kukuh, disegani dan bertambah kuat di masa mendatang.




No comments:

Post a Comment

Post a Comment

التطورات على مدار الساعة

Berita Semasa

Berita Semasa
Sumbangan PAS WP kepada Negeri Kedah

Berita Semasa

Berita Semasa
Sumbangan PAS WP Kepada Negeri Perlis

Viva Gaza Palestin

Viva Gaza Palestin