'Kalimah Toibah Melahirkan Generasi Bertaqwa'

assalamualaikum Pictures, Images and Photos


Pena Tok Guru

Himpunan Berita PASWP

Sila Clicks

Thursday, December 31, 2009

Kempen Pengkhianat - Belum lancar, Umno sudah tertekan

Oleh Ustaz Idris Ahmad


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melihat Umno kian tertekan dengan agenda Kempen Umno Pengkhianat rakyat yang bakal di lancarkan bulan hadapan. PAS telah menetapkan tarikh pelancaran lebih awal iaitu pada 9 Januari 2010 dan Umno juga terdesak mengikuti rentak PAS dan melancarkan kempen mereka pada tarikh yang sama. Jelas disitu bahawa Umnolah yang iri hati pada PAS bukannya PAS kerana hasrat kita adalah untuk mendedahkan segala pengkhianatan mereka. PAS tidak akan berdiam diri melihat rakyat terus tertipu dengan kempen Umno Juara Rakyat, kerana rakyat perlu tahu sikap sebenar Umno terhadap mereka.



Kempen tahun hadapan bukan untuk menentang Umno sahaja, tetapi untuk seluruh organisasi Barisan Nasional yang sememangnya Barisan Nazak sekarang. Kempen Umno Pengkhianat Rakyat akan dilancarkan dalam Seminar Penerangan Isu-Isu Semasa PAS pada 9 Januari 2009 bertempat di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Seminar ini akan dihadiri oleh;
Ahli Majlis Syura Ulama Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama’ Pas Pusat Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas  Pusat Dewan Harian Badan Perhubungan Negeri-Negeri Setiausaha Lajnah Penerangan Badan Perhubungan Negeri-Negeri/WP Ketua Penerangan Dewan Ulama’/Pemuda/Muslimat Negeri-Negeri Setiausaha Penerangan Dewan Ulama’/Pemuda/Muslimat Negeri Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan Dan Dakwah Pas Pusat Ahli  Parlimen Ahli Dewan Negara Adun-Adun Yang Di Pertua PAS Kawasan Setiausaha PAS Kawasan Ketua Penerangan Kawasan. Setiausaha Penerangan Kawasan Komitmen dari setiap peserta dan seluruh jentera PAS bagi memastikan maklumat-maklumat penting sampai kepada rakyat menjadi keutamaan. Umno dan BN akan terus tertekan dan mengelupur hingga ke akar umbi dengan usaha dan kerja keras dari setiap mereka yang bergelar ahli dan penyokong PAS.

Adalah menjadi tanggungjawab PAS untuk mengantikan Umno sebagai juara rakyat dan memastikan rakyat benar-benar mendapat pembelaan dan bukannya dizalimi seperti yang berlaku dalam isu royalti di Kelantan dan diseluruh negara sekarang.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Pemuda Pas Anjurkan Ekspedisi Dakwah (Ziarah Kasih) Di Sambutan Malam Tahun Baru

Oleh Kamaruzaman Mohamad

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) bersama Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) serta Nisa' Wilayah Persekutuan akan berganding bahu menjalankan operasi Ziarah Kasih pada sambutan Malam Tahun Baru 2010. Operasi ini adalah khusus bagi mendekati anak-anak muda supaya mereka mampu menjaga diri, akhlak, syakhsiyah serta pergaulan agar tidak terjerumus kepada perkara yang negatif. Operasi Ziarah Kasih akan diketuai oleh Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, bersama Sdr Mohamad Suhaimi bin Abdul Aziz, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan serta pimpinan Nisa' Wilayah Persekutuan.


Operasi ini akan bertumpu beberapa lokasi strategik di sekitar ibu negara seperti Dataran Merdeka, KLCC, Taman Tasik Titiwangsa, Bangsar, dan Taman Tasik Permaisuri. Ia akan bermula pada jam 9.00 malam dan berakhir sekitar jam 1.00 pagi. Kami percaya berdasarkan pengalaman setiap tahun menunjukkan budaya sambutan Malam Tahun Baru ini menjadi punca peningkatan gejala sosial di kalangan anak-anak muda seperti hedonisme (candu hiburan), zina, pergaulan bebas lelaki dan perempuan, dadah, minum arak, lumba motor haram dan sebagainya. Kebiasaannya ramai anak-anak muda mengakhiri Sambutan Malam tahun Baru dengan berkunjung ke Kelab Malam, berlumba motor atau kereta, mengambil dadah, meminum arak atau berkunjung ke tempat-tempat sunyi bersama pasangan masing-masing.
Kebimbangan kami terhadap nasib anak-anak muda Malaysia yang setiap tahun dipengaruhi dengan budaya hedonisme seperti ini. Apakah budaya hedonisme yang menyumbang kepada gejala negatif ini mampu melahirkan generasi yang baik di masa akan datang.
Kami berharap usaha ini akan disokong sepenuhnya oleh agensi kerajaan seperti JAWI, DBKL, JAKIM, pihak polis dan semua pihak yang berkaitan. Kami juga menyeru NGO-NGO Islam supaya dapat berganding bahu bersama-sama menyertai usaha dakwah kami ini.
Disediakan oleh

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Sempena Sambutan 35 Tahun PAS Wilayah


Wednesday, December 30, 2009

MP PAS Titiwangsa terima memorandum JK Bertindak Indian Element Kg Pandan,Kuala Lumpur

Bahan: http://mppas.wordpress.com/



Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali menerima memorandum daripada Pengerusi JKKK Bertindak Indian Element Kg Pandan KL, SM Sureshkumar AL Maniam di Lobi Parlimen hari ini 15 Dis. 2009.




Teks memorandum

JAWATANKUASA BERTINDAK INDIAN SETTLEMENT KAMPUNG PANDAN KUALA LUMPUR

35A, Lorong Delapan,Kg. Pandan Indian Settlement, 55100 Kuala Lumpur.

Tel : 013-2301 878, 016-9060 445

Jb_kpis@yahoo.com



Kepada,



Yang Berhormat,

DR. LO’LO’ MOHD GHAZALI,

Ahli Parlimen Titiwangsa. 15hb Disember 2009



PER: PERUMAHA SETINGGAN DI KAWASAN TITIWANGSA (KG.PANDAN INDIAN SETTLEMENT).

Terlebih dahulu kami, ahli-ahli Jawatankuasa bertindak dan penghuni-penghuni setinggan yang telah mengambil tindakan Mahkamah berterimakasih banyak atas pertolongan dan sokongan Yang Behormat memperjuangkan hak asasi penghuni-penghuni di Kg. Pandan Indian Settlement atas isu berkenaan KL Draf Plan 2020 dan perumahan setinggan.



Kebelakangan ini pihak MIC telah menganjurkan sebuah perjumpaan dengan penghuni-penghuni setinggan yag telah memfailkan kes terhadap pihak DBKL pada 4hb November 2009 (Rabu) di Dewan Orang Ramai (Lorong 5) Kg. Pandan. Perjumpaan ini telah dihadiri oleh Datuk Saravanan, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz, ketua MIC Kg. Pandan P. Sritheran dan kebanyakkan ahli-ahli MIC dan DBKL.



Semasa perjumpaan ini Datuk Saravanan telah mengucapkan kata-kata ang boleh dikatakan memeras ugut terhadap penghuni-penghuni setinggan. Beliau telah mengecam dengan mengatakan bahawa pihak DBKL telah membuat keputusan muktamad bahawa kesemua penghuni-penghuni yang telah memfailkan kes terhadap pihak DBKL tidak akan diberikan unit rumah dimana-mana perumahan PPR milik DBKL ataupun kerajaan setelah pihak DBKL menang dalam kes ini, kerana keputusan mahkamah akan memihak pada DBKL kerana tiada sesiapapun pernah menang kes yang difailkan terhadap pihak DBKL.



Kata-kata Datuk M, Saravanan telah membangkitkan kemarahan penghuni-penguni setinggan dan kami meminta agar Yang Berhormat menyuarakan tindakan dan kata-kata Datuk M. saravanan di Dewan Parlimen kerana tindakan Mahkamah adalah hak kami dan kami kesemua adalah Rakyat Malaysia.



Oleh itu besarlah harapan kami penghuni-penghuni setinggan disini jikalau Yang Berhormat dapat menyuarakan hasrat kami ini di Dewan Parlimen.



Sekian Terima kasih,



Yang benar



(S.M Sureshkumar A/L Maniam)

Pengerusi,

J/kuasa Bertindak, Indian Settlemant Kg. Pandan, Kuala Lumpur

No Tel : 013-2301 878



Difailkan dalam: ADR Titiwangsa, Memorandum

Monday, December 14, 2009

PENGLIBATAN ULAMA’ DALAM PAS PADA PERINGKAT AWAL

Dari blog Ketua Penerangan PAS Pusat

Gerakan kesedaran Islam di Tanah Melayu bermula dengan pulangnya pelajar-pelajar Melayu yang pernah mendapat didikan di Timur Tengah khususnya di Mesir . Pengaruh ini menjalar masuk ke alam Melayu apabila Syed Sheik bin Ahmad al-Hadi dan Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin al-Azhari yang pulang daripada Mesir. Mereka banyak menerima idea-idea pembaharuan daripada Sheikh Muhammad Abduh seorang pemimpin kebangkitan Islam yang terkenal di Mesir. Apabila Syed Sheik al-Hadi pulang dari Kahirah pada tahun 1904, beliau telah menerbitkan majalah al-Imam di Singapura pada tahun 1906-1908 bersama rakannya Syed Sheik bin Ahmad Al-Hadi, Haji Abbas bin Muhammad Toha dan lain-lain lagi.




Al-Imam berjaya mencetuskan perubahan minda para pembaca di Tanah Melayu zaman tersebut. Kemudian mereka menerbitkan akhbar-akhbar seperti Neraca (1911-1915), Tunas Melayu 1913, Ikhwan 1926 dan Saudara 1928. Akhbar ini menanamkan semangat anti penjajah melalui sindiran, kritikan dan teguran bangsa Melayu di bumi sendiri. Keluaran pertamanya pada 23hb. Julai, 1906. Idea-idea Islam yang syumul dan lengkap ditulis dalam penerbitan mereka.(Abdul Rahman Abdullah, 1987: 154-155, William, R. Roff, 89-90, Dr. Haji Abdullah Ishak, 1990, 201-202, Haji Mohd. Fakharddin Dato’ Haji Ahmad Gahzali, 2003: 3)



Majalah ini telah meniupkan kesedaran kepada golongan agama untuk bangkit menentang penjajah. Golongan ini telah menggerakkan mereka yang berpendidikan agama kearah pembentukan organisasi politik . Mereka menyeru masyarakat supaya kembali kepada ajaran Islam untuk meninggikan ekonomi dan politik orang Melayu. (Wan Hashim Wan Teh, 1988:37-38, William, R. Roff, 1980: 58)



Sekitar tahun 1931 perkembangan politik tanah air terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpuln pertama ialah puak kanan yang terdiri daripada mereka yang berpelajaran Inggeris dengan slogan Malaya untuk orang Malaya_. Golongan kedua ialah puak kiri yang berjuang untuk kemerdekaan orang Melayu dengan konsep penyatuan Melayu Raya_ dipelopori oleh Ibrahim Yakob dan Ishak Haji Mohammad.( Shahrom Husain, 1985 :67-68). Kemudian Ishak Haji Muhammad dan Ibrahim Yaakob telah menubuhkan Kesatuan Melayu Malaya (KMM) untuk kemerdekaan Malaya dan Indonesia, kemudian KMM telah diharamkan oleh Jepun walaupun pada peringkat awal Jepun memberi kerjasama. Sebagai gantinya Jepun telah menubuhkan Pembebasan Tanah Melayu (PETA). Apabila Jepun menyerah kalah maka hasrat untuk merdeka tidak tercapai. (Shafie Ibrahim, 1981:3)



Hasil daripada gerakan ini maka melahirkan Hizbul Muslimin yang berpusat di Gunung Semanggul. Ia adalah parti politik pertama yang berlandaskan Islam dan mempunyai matlamat yang jelas yang dipelopori oleh golongan agama di Gunung Semanggul.



Apabila KMM (Kesatuan Melayu Muda) ditubuhkan di cawangan Gunung Semanggul menjelang tahun 1940an. Pelajar-pelajar Ma’had Ehya telah menyertai KMM. Penyertaan penuntut–penuntut Ehya’ Syarif dalam Gerakan Kesatuan Melayu Muda bukan setakat menjadi ahli, tetapi beberapa orang daripada mereka telah menjadi pemimpin KMM cawangan Gunung Semanggul dan seluruh Perak Utara. (Nabir Abdullah, 1976:76)



Penyertaan secara aktif di dalam politik dan persatuan di kalangan para pelajar Ehya’ pada waktu itu adalah hasil pembawaan guru-guru yang mengajar mereka. Di kalangan guru-guru inilah yang membentuk ideologi pelajar kerana mereka telah menghuraikan fahaman perseorangan (personal ideology) seperti pendapat, sikap, nilai dan bentuk pemikiran kepada para pelajar. (James C, Scott, 1968:31)



Inilah juga yang dilakukan oleh ustaz Abu Bakar al-Abaqir yang menggalakkan anak muridnya terlibat dengan kegiatan memajukan agama dan bangsa.

PKMM[1] telah ditubuhkan pada 17hb. Oktober 1945 di Ipoh ia dipimpin oleh Mukhtarudin , Burhanuddin al-Helmi dan Islak Haji Muhammad dan sayapnya ialah Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Insaf (AWAS) dan Barisan Petani Malaya (BATAS). (Shafie Ibrahim, 1981:3)



Golongan agama telah menjadikan PKMM sebagai wadah perjuangan pada waktu itu kerana belum ada lagi wadah yang mereka hendak pejuang untuk menentang penjajah dan dapat mencapai kemerdekan. Menurut Khaidir Khatib para ulama’ dari peringkat awal lagi mereka tidak sudi kalau kegiatan mereka dikongkong dan mereka menjadi boneka sahaja. (Faridah Ali, 1974/75: 15)



Atas galakan PKMM melalui Dr. Buranuddin al-Helmi maka Hizbul muslimn ditubuhkan pada 14hb. Mac 1948. Hizbul Muslimin merupakan satu landasan baru dalam kehidupan masyarakat Melayu, bahawa Islam boleh berperanan dan menjadi ejen perubahan masyarakat (Firdaus Haji Abdullah, 1980:6). Selepas perang dunia kedua ideologi Islam sebagai asas mula bertapak di sekolah-sekolah agama seperti di Mahad Ehya’ al-Syarif yang terkenal sebagai pusat pejuang-pejuang yang beroreintasikan agama. (Firdaus Haji Abdullah, 1980: 6). Kesannya Ma’had telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh pejuang seperti Osman Hamzah, Yunus Yatimi, Asri Haji Muda. Sekolah ini telah mengajar tentang pelajaran yang boleh menimbulkan kesedaran bahawa bangsa Melayu mundur kerana meninggalkan Islam. (Firdaus Haji Abdullah, 1980:6)



Apabila Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah Inggeris[2] maka ramai di kalangan tenaga penggeraknya telah menyertai Pas yang pada ketika itu lebih mirip kepada nasionalis daripada Islam. Empat anggota Hizbul Muslimin telah menyertai Pas adalah Ustaz Osman Abdullah, Ustaz Baharudin Abdul Latif, Ustaz Khadir Khatib, Haji Yunus Yatimi dan Dato’ Mohd. Asri Haji Muda. (Wan Hashim Wan Teh, 51, Firdaus Abdullah, 1980: 46, John Funston, : 91, William R. Roff: 156)



Walau bagaimanapun Pas bermula sebagai pergerakan elit agama di Pantai Barat Semenanjung. Namun ia tersebar pesat di negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu kerana majoriti penduduknya orang Melayu. Di kedua-dua negeri tersebut Pas mendapat sokongan daripada para haji, ahli Umno yang telah keluar parti, penyokong PKMM yang masih ada serta mereka yang terpelajar daripada pendidikan Melayu dan Arab. (R.S. Milne & K. Diane Mauzy, : 185) Penglibatan di kalangan mereka yang berpendidikan agama kerana dilihat dari dasar dan komitmen Pas yang memaktubkan beriktiar melaksanakan hukum-hukum Islam. Perletakan dasar perjuangan Islam ini adalah satu perkara yang penting untuk ulama’ melibatkana diri dalam Pas dan merealisasikan Islam sebagai al-Din.



Pas yang merupakan lanjutan daripada perjuangan Hizbul Muslimn yang diharamkan oleh Inggeris, ahlinya terdiri daripada mereka yang berpendidikan agama.



Begitu juga yang dicatat oleh Nabil Abdullah, orang yang mencadangkan nama Persatuan Islam SeMalaya (PAS) dari Persatuan Ulama, adalah dari kalangan orang yang terlibat dengan Hizbul Muslimin iaitu Osman Hamzah. Malahan bentuk dan tujuan perjuangan parti itu juga ditentukan sedikit sebanyak oleh mereka yang biasa berjuang dalam Hizbul Muslimin. Oleh kerana itulah kita katakan bahawa Pas adalah lahir dari runtuhan Hizbul Muslimin[3] yang banyak berdamping dan menerima sokongan anggota PKMM dan sekutunya.(Nabil Abdullah, 1976: 210)



Kalau dilihat daripada permulaan saat penubuhan Pas sehingga kemerdekaan mendapat sokongan yang kuat dari kalangan orang agama. Memang Pas ditubuhkan oleh mereka yang menghendaki Islam dapat ditegakkan dinegara ini. (Ahmad Kamar, 1979:30). Beberapa persidangan yang di adakan pada peringkat awal telah melibatkan tokoh-tokoh yang berlatar belakang agama seperti Haji Ahmad Fuad Hassan, Haji Mohammed Ghazali Abdullah, Haji Hussain Che’ Dol. Mereka merupakan tokoh pejuang dan ulama’ yang memperjuangkan Pas pada peringkat awal.[4]



1.Penglibatan yang aktif di kalangan mereka yang terlibat dengan Hizbul Muslimin yang berpengkalan di Ma’had Ehya’ al-Syarif adalah bukti penglibatan golongan agama di dalam Pas. Tempat-tempat seperti ini yang menjadi pengkalan yang menyebarkan Islam dan ideolagi yang diperjuangkan oleh Pas kebetulan selari dengan apa yang diajar oleh Tok Guru pondok walaupun pondok ini bukan tajaan Pas. Dengan ini memudahkan Pas mengembangkan pengaruhnya di kawasan pondok. Misalnya tiga orang pelajar Ma’had Ehya’ Sayarif, Baharudin Abdul Latif, Othman Hamzah dan Yunus Yatimi yang telah menghadiri ke mesyuarat perasmian PKMM di Ipoh pada 10 November hingga 3 Dis 1945. Mereka ini kemudian bergerak dalam Angkatan Pemuda Insaf (API) dan seterusnya dalam PAS. (Firdaus Abdullah, 1985: 33)

Lahirnya persidangan di kalangan tokoh agama dalam Umno pada waktu itu adalah hasrat murni mereka untuk melihat Islam dapat ditegakkan dengan baik dengan adanya persidangan ulama’ Malaya di Muar pada 21 Feb 1950 manakala 15 Ogos 1951 di Kuala Lumpur dan kemudiannya di Seberang Perai adalah menefestasi keinginan ulama’ pada waktu itu untuk berorganisasi. Hasrat ini dapat dilihat daripada yang disebut oleh Haji Ahmad Fuad yang merasakan perlu ulama’ bersatu dan meyesal kerana ulama’ tidak bersatu. (Shafie Ibrahim. 1981: 14). Ini dapat dilihat daripada ruh penubuhan Pas di kalangan ulama’ dalam Umno merasakan perlu satu pertubuhan yang mengumpulkan semua ulama’ dalam satu kesatuan untuk menjadi satu barisan yang kukuh dalam menentang kemunkaran yang dilakukan oleh Umno seperti mengajurkan loteri, mengadakan fun fair yang dianggap oleh oleh ulama’ mengotorkan kesucian Islam.(Nakhaei 1987 : 45)



Penubuhan Pas pada peringkat awal adalah menjadi wadah kepada ulama’ untuk berorganisasi dan dapat membentuk satu jamaah yang mampu untuk melawan kemungkaran pada ketika itu. Pada waktu itu sudah ada keinginan ulama’ untuk mewujudkan sebuah parti politik Melayu Islam baru yang menggabungkan ulama’ dalam satu wadah.. Mereka hendak menjadikan Pas sebagai sebuah badan yang bebas jika boleh menyamai dengan Parti Masyumi di Indonesia. (Safie Ibrahim, 1981:4)



Sejak daripada persidangan kedua lagi sudah ada idea untuk Pas berdiri dengan sendiri yang bebas dan tidak bergantung kepada orang lain. Supaya ulama’ dapat berbicara dengan bebas dan tidak terikat dengan badan induk yang ada. Ini adalah kerana ulama’ sedar mereka perlu ada organisasi untuk bergerak sebagai nadi kepada ummah. Walaupun hajat ini tidak kesampaian untuk dilaksanakan seperti dalam artikel 22 bab 1 draf perlembagaan Pas yang menyebut bahawa sesiapa yang memegang ahli jawatankuasa eksekutif Pas tidak boleh dalam masa yang sama memegang jawatan dalam mana-mana parti politik lain. Oleh kerana artikel ini akan -menjejaskan mereka yang masih sayang pada Umno maka ada cadangan supaya artikel ini dimansukhkan.(Nasarudin Mat Isa, 2001:16)



Sambutan ini juga berkait rapat dengan tokoh kepimpinan pada waktu itu seperti Haji Ahmad Fuad yang memang terdedah dengan gerakan agama dan bakat kepimpinan. Beliau merupakan seorang yang bijak dan pintar. Bakat kepimpinan dan pendedahan kepada gerakannya sejak daripada kecil. Namanya sebenar Dahmat bin Hasan bin Bilal Mat Salleh. Digelar Dahmat al-Bariak setelah tamat pengajian di peringkat Qismul ‘Ali (1937) di Ma’had al-Ehya’ as Syarif kerana kecemerlangan akademiknya. Kemudian namanya ditukar kepada Ahmad Fuad oleh Sheik Hassan Yamani ketika belajar di Mekah. Beliau mula terdedah dengan gerakan politik Kaum Muda ketika berada di Ma’had al Ehya’ asSyarif Gunung Semanggul (1934-1937) dan Gerakan Islah ketika berada di Mekah (1937-1939).. terlibat dalam penentangan terhadap British di Palestin ketika berada di Mekah. (Nabil Abdullah, 1976: 61,Mohd. Fadli Ghani 2003c:1) (Othman Hamzah, 1987:50). Pengalaman yang ada pada Tuan Haji Ahmad Fuad seorang ulama’ dan seorang yang tekun dan berkarismatik adalah penyumbang utama kearah kelahiran Pas pada peringkat awal. Kepimpinan beliau (15 ogos 1951-Sep 1953) dianggap sebagai printis membawa golongan agama dalam organisasi untuk meningkatkan kedaulatan Islam. Kebetulan beliau merupakan Pengerusi Badan Agama Umno, maka mempercepatkan penubuhan Pas.. (Muhaimin Sulam, 2003: 70)



Sebagai seorang yang memiliki latar belakang pendidikan agama satu kelebihan untuk membawa Islam sebagai visi perjuangan politik. Di samping itu beliau memahami bahawa bangsa Melayu perlukan negara yang berdaulat. Kebetulan pada ketika itu Umno merupakan satu wadah politik kepada orang Melayu kerana parti yang berhaluan kiri telah diharamkan oleh penjajah. Beliau merasakan tidak selesa dengan beberapa pendirian Umno. Maka beliau telah memikirkan hanya melalui satu persatuan yang menyuarakan aspirasi Islam yang boleh menjadi pengimbang kepada Umno. Semasa penubuhan Pas di peringkat awal, beliau menggunakan mekanisme yang wujud dalam Umno untuk memudahkan kerja penubahannya. Ini termasuk menghubungi para sultan , mufti, alim ulama’ dari seluruh Negara.(Muhaimin Sulam 2003:72-73)



Dasar Pas yang meletakkan Islam merupakan asset yang paling penting memperkembangkan pengaruh Pas. Ini dapat dilihat daripada sambutan yang diberikan oleh masyarakat Melayu yang beragama Islam.[5] Kerana dasar Islam yang diperjuangkan oleh Pas telah menarik minat orang Melayu yang sinonim dengan Islam terutama di kalangan ulama’. (K.J. Ratnam 1985: 145, Fred R. Von Der Mehden 1982: 184, Judith Nagata 1987: 121), Islamic Revival And the Problem Of Legitimacy among Rural Religious Elites in Malaysia, edit Bruce Gale, Pelanduk Publications dlm Readings In Malaysian Politics, 1987 113-133)). Sebab itu setiap kali pilihanraya isu Islam[6] telah dieksploitasikan untuk kejayaan dalam pilihanraya bagi mencari sokongan. Isu agama adalah yang paling berkesan pada orang Melayu. Segala bantuan dan pembinaan yang melambangkan syiar Islam akan ditonjol kehadapan untuk membuktikan kepada orang Melayu bahawa merekalah calon yang patut dipilih.



Pas yang telah menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai panduan politiknya dengan mudah dapat meresapkan pengaruhnya di kalangan penduduk luar bandar terutama di negeri yang majoritinya terdiri dari kalangan orang Melayu seperti Kelantan dan Terengganu dan Kedah.[7] Di sebabkan Islam dan Melayu menjadi intisari peribadi bangsa Melayu dalam erti kata konsep Melayu itulah Islam dan Islam itulah Melayu sudah diterima umum dan konsep ini menjadi modal besar Pas tambahan pemimpinnya pula terdiri dari kalangan orang-orang berpendidikan Islam.(Yahya Ismail, 1978: 99)



Pas juga melebarkan pengaruh di kawasan pengajian agama. Sentimen pegangan agama di kalangan orang Melayu yang begitu kuat dieksploit oleh Pas untuk menarik sokongan di kalangan mereka. Ini dapat dilihat dengan penubuhan sayap parti iaitu Dewan Pemuda dalam Pas diamanahkan kepada ulama’ iaitu Ustaz Haji Ahmad Badwi Abdullah yang kelulusan Makkah. Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Agung Pas yang bermesyuarat pada 3 April 1952. untuk beliau menubuhkan Dewan Pemuda Islam sebagai sebuah jawatankuasa kecil (lajnah/biro) dalam Jawatankuasa Agung PAS). (Minit Mesyuarat Jawatankuasa Agung Pas, 3 April 1952:1). . Mesyuarat tersebut juga bersetuju untuk melantik Ustaz Ahmad Badwi yang juga seorang ahli Jawatankuasa Agung Pas sebagai Ketua Dewan Pemuda Islam yang akan menjalankan kerja-kerja kepemudaan (Mohd. Fadli Ghani, 2003:2)



Malahan apabila Kongres yang dikenali sebagai Kongres pemuda Islam yang berlangsung pada 25 Ogos 1953 di Madrasah al-Ulum As Syariyyah Bagan Datoh, Perak yang kemudiannya bersetuju melantik Ustaz Othman Abdullah[8] sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas (Mohd. Fadli Ghani, 2001:12). Program yang dibuat di Madrasah al-Ulum dan mendapat kerjasama yang baik adalah satu bukti memang Pas mendapat sokongan dari kalangan ulama’ dan golongan agama, malahan Dewan Penuntut Madrasah al-Ulum banyak memainkan peranan untuk menggerakkan organisasi Dewan Pemuda Pas.(Mohd. Fadli Ghani, 2003:67) Malahan pergerakan Kesatuan Pelajar Agama Islam Se Malaya (KPAS) yang mendapat sokongan dari sekolah-sekolah agama rakyat terutama di Perak, Kedah, Seberang Perai, Selangor dan Kelantan.(Mohd. Fadli Ghani, 2003:68)



Kebanyakan Tuan Guru dan pondok menjadi power base Pas pada peringkat awal hingga kini.[9] Walupun pondok itu tidak berada di bawah kendalian Pas tetapi segala pembawaan tuan gurunya mempengaruhi dalam tindakan.[10] Mahathir Mohd. Khir dalam satu tulisannya telah menyatakan bahawa kaitan erat antara pondok, padi dan Pas. (Mahathir Mohd. Khir, 1992: 26-28). Penglibatan beberapa orang ulama’ dan Tuan Guru pada peringkat awal penubuhan Pas memberi impak yang besar kepada politik melayu. Daerah-daerah yang tebal dengan tradisi persekolahan pondok khasnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu telah menjadi sasaran parti itu. Di antaranya Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein merupakan mudir di Al-Madrasah Al-Khairiah Al-Islamiah di Pokok Sena, Seberang Perai, Tuan Guru Haji Yahya Junid daripada Al-Madrasah Al-Khairiah Al-Hilmiah Padang Lumat Kedah, Tuan Guru Haji Ahmad Kodiang, Tuan Guru Haji Hussein Che’ Dol, Tuan Haji Ahmad Fuad menjadi pengetua Madrasah al-Masriah, Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution Tanjung Pauh Jitra, Taun Guru Haji Osman Yunus daripada Pondok Al-Nahdhah Bukit Besar Kedah, Di Kelantan antara tuan guru yang terlibat dalam Pas pada peringkat awal ialah Tuan Guru Haji Daud Pondok Meranti Pasir Mas, Tuan Guru Haji Hussein Rahimi dan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dari Madrasah Al-Ahmadiah Bunut Payung, Tuan Guru Haji Abdul Ghani dari Madrasah Muhammadiah Kubang Bemban Pasir Mas, Tuan Guru Haji Abu Bakar dari pondok Bukit Tiu, Tuan Guru Haji Omar dari pondok Kg Baru Pak Husein, Tuan Guru Haji Hassan dari pondok Lemal, Tuan Guru Haji Mohd. Nor dari pondok Teliar, Tuan Guru Haji Harun juga dari Pondok Lemal dan Tuan Guru Haji Mustafa dari pondok Pasir Tumbuh dan Tuan Guru Haji Hassan dari pondok Ketereh yang sebelumnya seorang penyokong Umno menyertai Pas pada tahun 1958. Dengan penglibatan mereka ini juga telah dijadikan modal kempen pilihanraya di kalangan aktivis Pas, salam dan pesanan Tok Guru menjadi modal untuk memenangi hati pengundi dan rakyat yang selalu percaya bahawa guru-guru mereka adalah orang baik. (Muhammad Abu Bakar, 1985:326-327)



Di Trengganu beberapa tuan guru yang menjadi tumpuan Pas pada waktu itu untuk mengembangkan pengaruh Pas. Antaranya ialah Pondok Haji Abdul Latif di Besut, Pondok Haji Kadir di Padang Midin, pondok Haji Abbas di Tok Jiring, Pondok Haji Shafie Sulong di Durian Guling, Pondok Haji Zainal Abidin Dungun dan Pondok Haji Mat Shafie yang dikelolakan oleh Haji Mat Teresat. Muhammad Abu Bakar, 1997:163) Pada waktu itu Maahad Ehya’ al-Syarif yang merupakan tempat tumpuan ulama’ Hizbul Muslimin. (Burhanuddin Abdul Latif 1994:iii-iv) Kemenangan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein menjadi faktor penolak aktivis Pas membawa obor parti dalam masyarakat pondok (Muhammad Abu Bakar, 1985:324). Kemenangan ini juga berkait rapat dengan perjuangan Pas yang sama dengan Hizbul Muslimin yang pernah lahir di Gunung Semanggul dahulu yang mempunyai matlamat yang sama untuk menegakkan Islam apabila Negara merdeka. Suasana masyarakat yang dikelilingi dengan suasana agama maka bukan menjadi asing kepada Pas untuk menang. Kerana mereka memang diasuh supaya kepercayaaan dengan agama dan politik tidak boleh dipisahkan.(Nabil Abdullah: 232) Di dalam pertandingan tersebut calon Pas Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin mendapat undi sebanyak 8685 berbanding dengan calon Perikatan Mohd Sulaiman Haji Ahmad (haji Sulaiman Palestin) yang mendapat undi sebanyak 8235 manakala seorang lagi yang bertanding ialah Mohd. Jun bin Ngah dari Parti Kebangsaan Perak mendapat undi 3315.[11] (T.R. Smith, 1955: 69) Kemenangan calon Pas juga banyak disumbangkan oleh kepercayaan konsep durhaka dari anak murid pada tuan guru.(Nabil Abdullah, 1976: 229). Kemenangan ini juga kerana peribadi calon banyak menyubangkan tenaga dan masanya kepada pendidikan Islam yang merupakan anak ulama’ Tuan Hussain Kedah yang terkenal dan kebetulan beliau juga berketurunan banjar. (Muhammad Abu Bakar, 1997:163) Pas yang telah berjaya menarik perhatian ulama’ pondok melihat penyertaan mereka dalam politik sebahagian dari kehidupan beragama. (Muhammad Abu Bakar, 1985:326) Hal ini sangat menarik perhatian guru-guru agama kepada Pas. Kerana ia dipimpin oleh mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan cita-cita untuk mendirikan hukum Islam.(Ahmad Kamar, 1979: 78 )



Menurut Means,



its formative period the PMIP relied heavily upon support of students and teachers in the religious pondok schools, where young Malays are instructed in the religious tenants of Islam (Means, 1970: 226)



Kemenangan Pas beberapa tahun sahaja apabila Pas ditubuhkan adalah merupakan kemenangan pengaruh pondok dan penampungan semangat kemelayuan di kalangan orang-orang Melayu yang begitu bimbang dengan kedudukan mereka akibat dasar pintu terbuka Inggeris dan pertambahan pesat penduduk Tanah Melayu dengan kemasukan China dan India. Semangat kemelayuan dan rasa bimbang ini masih menebal di negeri-negeri Kelantan dan Terengganu. Pengaruh pondok merupakan pengaruh Islam. Pondok-pondok merupakan benteng mempertahankan akidah Islam di tanah Melayu. Apabila tok-tok guru pondok telah memberi sokongan bulat kepada Pas maka rakyat mudah dipengaruhi untuk memberi sokongan kepada Pas. (Nakhaei, 1987: 38-39)



Walaupun Pas ditubuhkan di Pulau Pinang tetapi berkembang di Kelantan, kerana di sana adanya pondok.[12] Pengaruh sisitem pendidikan pondok yang begitu kuat di Kelantan menyebabkan agama merupakan satu sentiment penting kepada rakyat Kelantan. Perkara yang berkaitan dengan agama akan mendapat tempat di hati rakyat sebab itulah apabila Pas yang menyokong konsep Islam telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan rakyat Kelantan. (Mohammad Agus Yusoff, 1994: 1) Pada awalnya ia berkembang di kawasan Melayu yang tepencil dan kurang maju. Namun begitu dengan adanya bantuan daripada pemimpin-pemimpin agama di peringkat kampung, guru-guru Melayu dan guru-guru agama maka parti itu mencapai banyak kejayaan dalam percubaan untuk menjelaskan tujuan politik dari sudut Islam. (Amaluddin Darus, 1977:34), (Ratnam, 1969:193). Disinilah letaknya kekuatan Pas kerana keupayaan pemimpin Pas mengeksploitasi _ Religious sentiments for political objectives_. (Means, 1970: 278), Begitu juga dengan Milne yang berpendapat sebagai sebuah negeri yang mempunyai masyarakat yang rofoundly conservative he driving force behind the parti comes from religion (Milne, 1967: 93)



Jasa besar yang dimainkan oleh tuan guru amat besar, walaupun ada kelemahan dalam penyampaian. Adalah tidak adil mengatakan guru-guru pondok menghalang kemajuan , kerana bagi beliau mereka adalah pejuang dan hulubalang yang telah berjuang sebelum kita berjuang dengan mempertahankan keyakinan umat kepada agama Allah sekalipun dalam bentuk dan cara yang sangat ketinggalan zaman. (Amaluddin Darus, 1977:42).



Penglibatan Dr. Burhanuddin al-Helmy[13] Prof. Zulkifli Muhammad[14], Dato’ Asri Haji Muda[15] dalam Pas juga impak dari pendidikan agama yang diterima sehingga mereka merasakan perlu melibatkan diri dengan Pas.



Penyertaan Dr. Burhanuddin diharap akan memberi kesan yang baik kepada Pas dalam persaingan politik nasional (SP 28/A/19 PAS 1955-1958. surat Hassan Adli kepada Othman Abdullah, 17 Disember 1956). Ustaz Abu Bakar Hamzah dan Ustaz Hassan Adli adalah dua tokoh utama Dewan Pemuda Pas yang memainkan peranan utama untuk menarik Dr. Burhanuddin dan meyakinkan pimpinan Pas tentang kepimpinan Dr. Burhanuddin yang bebas dari pengaruh sosialis dan gerakan kiri (SP 28/A/19 PAS 1955-1958, surat Hassan Adli kepada Othman Abdullah, 17 Disember 1956). Bukan perkara baru minat dan dekatnya Dr. Burhanudin dengan perjuangan Islam, malah penubuhan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggul adalah nasihat Dr. Burhanuddin walaupun beliau tidak kedepan tetapi yang menjadi perancang utama ialah beliau. Sewaktu beliau menjawat Pegawai Tinggi Jepun di markaz Taiping sering berulng alik ke Ihya’ dan sering berbincang bagaimana hendak memajukan pendidikan dan kemajuan bangsa.[16] Dr. Burhanuddin melarang tentera Jepun daripada menganggu pelajar dan warga Ihya’ dan menyelamatkan penduduknya daripada terlibat dengan pembinaan keretapi maut di Sg Kwai sempadan Burma -Thai (Nabil Abdullah, 1976:87dan 91) Sebaik sahaja Dr. Burhanuddin menjadi Yang Dipertua Agung Pas. Wakil Ketua Dewan Pemuda Pas Ustaz Burhanudin Latif telah menyampaikan sebuah al-Quran dan Undang-Unang Tubuh Pas kepada beliau sebagai satu simbolik perjuangan Pas yang menjadikan al-Quran sebagai panduan (Amaluddin Darus, 1977:93). Ustaz Jamaluddin Amini adalah orang yang betanggungjawab membawa Prof. Zulkifli Mohammad ke dalam Pas pada 1955 (Mohd Asri Muda, 1993:45)



Dr. Burhanuddin juga seorang ulama’ walaupun beliau dikenali sebagai nasionalisma kiri kerana kelantangan beliau dalam menentang penjajah. Kebolehan beliau dalam bahasa Arab dan menguasai Bahasa Inggeris adalah gambaran kehebatan beliau sebagai seorang ulama’ dan intelektual. Beliau yang pernah menuntut di Sungai Jambu Sumatra selama dua tahun untuk pendidikan agama Islam. Selepas ia kembali dari Sumatra bapanya menghantarnya pula ke sekolah Pondok di Pulau Pisang, Jitra Kedah. Beliau tidak lama tinggal di sana kerana menganggap pembelajaranya terlalu rendah dan kemudian beliau ke Madrasah al-Mashor al-Islamiah Pulau Pinang, dalam masa yang singkat beliau menguasai bahasa Arab. (Kamarudin Jaafar, 1980: 4). Semasa Pas di bawah kepimpinan beliau telah menekankan betapa pentingnya ahli-ahli memperlengkapkan diri dengan ilmu-ilmu Islam dan berkewajipan untuk menyebarkan ilmu tersebut kepada masyarakat dan seterusnya kepada negara sehinggalah kepada pembentukan sebuah Negara Islam. (Halim Mahmood, 1983: 36)







Kalau ditinjau daripada penglibatan Dr. Burhanuddin sebelum menjadi Yang Dipertua Agong Pas , ternyata beliau mewakili elemen Islam dalam pertubuhan yang diwakilinya. Atas dasar inilah pimpinan beliau yang dipinggirkan dalam PKMM dengan diberi jawatan penasihat sahaja. (Funstorn, 108-109, Wan Abd. Rahman, 1991:4) Komitmen beliau terhadap Islam telah membolehkan beliau berfungsi sebagai pemimpin utama kepada pertubuhan pelbagai kaum dan bangsa dalam AMCJA dan ini meletakkan beliau sebagai one of the first Malay leaders to head a multi-racial political alliance. Kalaulah beliau seorang nasionalis yang kental besar kemungkinan beliau tidak sanggup untuk mewakili pertubuhan yang mewakili kepentingan pelbagai bangsa seperti AMCJA (All Malaya Council For Joint Action) (Wan Abd. Rahman, 1991:4). Kesanggupan beliau memimpin AMCJA itu menunjukkan kelincahan beliau dalam menyatakan Islam kepada bangsa lain yang bukan menganut agama Islam.



Sikap beliau yang mengambil berat dalam menyatakan Islam jelas dapat dilihat semasa beliau memegang jawatan tertinggi bagi seorang Melayu iaitu Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayan Melayu yang berpejabat di Markaz Pentadbiran Jepun di Taiping. Semasa beliau memegang jawatan beliau menganjur dua kongres Islam. Beliau mengambil berat dan melindungi dan membantu Maahad Ehya’ al-Syarif sebuah puasat pendidikan Islam yang terkemuka dari segi sosial dan politik di Gunung Semanggol (Kamarudin Jaafar, 1980:5).



Pas begitu agresif ketika di bawah pimpinan Dr. Burhanudin al-Helmi (1956-1964). Beliau bekas pimpinan PKMM telah tidak menyertai mana-mana parti ketika dibebaskan dari tahanan pada tahun 1950. Beliau telah menyertai Pas pada bulan Disember 1956. Pada pandangan beliau Pas adalah parti Melayu yang berteraskan Islam dan memperjuangkan kebangsaan Melayu. Sehubungan dengan itu Dr. Burhanuddin menegaskan



hose who naively say that Pas is a party of Pak lebai should look around them, should turn to the middle East. As whether or not PAS is competent in its role in the struggle of national liberation, Middle East provides the example that a state, a nation cherished by every Muslim patriot will not be realised unless the national struggle has brought about genuine independence and sovereignty, unless the supreme task for national liberation has been genuinely fulfilled. (Dr. Burhanuddin al-Helmy, 1956: 5)



Pada awalnya Inggeris mengaggap Pas tidak begitu penting, tetapi dengan penyertaan Dr. Burhanuddin al-Helmi ia membimbangkan British. Ini kerana Burhanuddin adalah orang yang anti British dan bercita-cita pula untuk membentuk sebuah negara Islam. (Penal Pengkaji Sejarah Pusat Penyelidikan Pas, 1999:7)

Mesyuarat Agung kali pertama yang berlangsung pada 3 Januari 1953 bertempat di Dewan Madrasah Daeratul Maarif Al-Wataniah, Kepala Batas telah membincangkan cadangan penubuhan Dewan Ulama’, bersama dengan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Dalam mesyuarat tersebut perwakilan Hilir Perak telah mencadangkan ketiga-tiga usul berkenaan penubuhan tiga dewan-dewan dan disahkan sekali gus dan disokong oleh perwakilan Bukit Besar kemudian disokong sebulat suara. Dewan Ulama’ yang mempunyai ahli yang terdiri dari kalangan ulama’ dan mempunyai satu peraturan yang dinamakan dia peraturan Dewan Ulama’ PAS yang menentukan segala tanggungan-tanggungan dewan ini dan segala hak-haknya, dan peraturan-peraturan ini hendaklah disahkan dalam mesyuarat jawatankuasa Kerja Agung PAS(Peringatan Mesyuarat Agung Pas Kali Pertama, 1953: 12)



Dengan tertubuhnya Dewan Ulama’ sebagai sebuah badan penting dalam parti bertujuan menyediakan tempat dan peluang kepada penglibatan besar di kalangan ulama’. Lebih hebat lagi apabila kemenangan di Kerian menyedarkan bahawa pondok merupakan sektor yang penuh berpotensi di sudut politik, dan perhubungan antara Pas dengan ulama’. (Muhammad Abu Bakar, 1985:321-322)



Kesimpulan



Penubuhan Pas adalah hasil kesedaran politik Islam untuk mendaulatkan agama Allah di muka bumi ini. Mereka yang mempelopori pergerakan ini ialah dari kalangan orang agama yang begitu bersemangat menentang penjajah terutama aspirasi yang dibawa balik oleh anak murid Sheikh Muhammad Abduh di Timur Tengah. Mereka bangkit di tengah-tengah masyarakat dengan memberi kesedaran agama.



Peranan ulama’ dalam mencetuskan gerakan kemerdekaan Tanah Melayu. Mereka telah memainkan peranan utama dalam perjuangan dalam mempertahankan kedaulatan negeri-negeri Melayu daripada pencerobohan kuasa penjajah. Pada waktu itu madrasah dan pondok menjadi benteng pertahanan untuk meniupkan kesedaran menentang penjajah melalui pembangunan akidah dan semangat jihad.



1.Walaupun Pas pada peringkat awal adalah merupakan badan setelit kepada Umno untuk mengumpul tenaga-tenaga ulama’ pada waktu itu dan masih tertakluk dengan undang-undang Umno. Tetapi dengan pindaan terhadap undang-undang tubuhnya secara langsung Pas menjadi sebuah pertubuhan politik yang menjadi saingan dengan Umno. Selepas itu beberapa ulama’ Umno yang pada mulanya berkecimpung dengan Pas telah keluar dan kekal dalam badan induk Umno.

Walau bagaimanapun Pas telah diasaskan oleh sekumpulan ulama’ untuk menjadi parti alternatif kepada masyarakat melayu. Nama-nama seperti Tuan Haji Ahmad Fuad bi Hassan, Tuan Guru Guru Haji Hussin Che Dol, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, Tuan Haji Muhammad Ghazali bin Haji Abdullah, Tuan Haji Abdullah Abbas Nasution, Tuan Haji Ahmad Maliki merupakan tokoh ulama’ yang mempelopori kewujudan Pas pada peringkat awal.



Pas telah meneruskan dasar Hizbul Muslimin dan kebanyakan ahlinya telah berjuang di dalam Pas, malahan Pas melanjutkan cita-cita kepada Hizbul Muslimin dari segi asas perjuangannya. Pas telah menjadi ‘main stream’ pada ketika itu yang telah mengambil tempat Hizbul Muslimin dan PKMM yang diharamkan oleh penjajah. Kerana ideologi Pas yang lantang dan berani maka ia mendapat sokongan akar umbi yang terdiri dari kalangan ulama’. Kehadiran Pas dalam masyarakat Melayu pada ketika itu ialah untuk memenuhi ruangan kosong di dalam masyarakat bagi mengembalikan Islam yang telah dijajah dengan harapan Islam dapat dijadikan kuasa penyatuan dan mengangkat martabat bangsa.



Oleh kerana itulah Pas mendapat tempat di dalam instutusi pondok dan sekolah agama rakyat yang sebahagian besar mendokong fikrah perjuangan Pas. Hal ini sangat menarik guru-guru agama kerana Pas dipimpin oleh mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan cita-cita untuk ,mendirikan hukum Islam.(Ahmad Kamar, 1979/80:78)



Oleh itu Pas mempunyai hubungan yang rapat dengan institusi pendidkan agama dan pondok. Terdapat pondok yang begitu akrab dengan Pas, sebagai contohnya hubungan Madrasah al-Ulum Assyariah Batu 20, Bagan Datoh, Perak. Dicatatkan dalam sejarah madarasah tersebut telah menggunakan markaz Pas cawangan Batu 20 untuk digunakan kelas pengajian bagi menampung kekurangan bangunan kelas di madarasah tersebut pada tahun 1950an.(Sobri Haji Said, 1978: 54)



Malahan sejak awal penubuhan lagi ia dipelopori oleh ulama’. Menurut Ustaz Baharuddin Abdul Latif yang menghadiri majlis penubuhan Pas telah mencatatkan sebuah manifesto al-Badawi yang disediakan oleh Haji Ahmad Badawi yang tajuk lengkapnya “Manifesto al-Badawi Ulama’ Kejalan Allah” ia menggambarkan azam dan tekad ulama’ untuk berjuang menegakkan Islam dan ajarannya.(Baharuddin Abdul Latif, 1994:xx)



Walaupun Pas ditubuhkan di pantai barat tetapi ia berkembang biak di pantai timur, kerana di sana terdapatnya pondok dan sekolah agama. Perjuangan ini serasi dengan pengajaran dan pembelajaran mereka yang syumul dengan menerangkan Islam merangkumi persoalan hidup dan bernegara. Sebab itu Amaluddin Darus yang mempelopori Pas di Kelantan telah berusaha mendekati tok-tok guru. pondok untuk memimpin Pas.(Amaluddin Darus, 1977:34)





--------------------------------------------------------------------------------



[1] Konggres pertama PKMM pada 30hb. Nov hingga 3hb. Dis 1945 di Ipoh telah menetapkan supaya PKMM menuntut Malaya berkerajaan sendiri berdasarkan demokrasi, Bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa rasmi dan mengadakan satu rupa bangsa (kerakyatan yang tunggal) di Tanah Melayu. Kedua menuntut kemerdekaan penuh yang berdasarkan demokrasi. Ketiga, Malaya pada akhirnya hendaklah bergabung dengan Indonesia. (Ahmad Azam, : 26-27)



[2] Pengharaman ini berkait rapat dengan tidak senangnya pihak berkuasa untuk melihat kepimpinan Islam akan bertapak di Tanah Melayu dan akan menggugat kepimpinan nasionalis pada waktu itu. (Muhammad Abu Bakar, 1994: 98)



[3] Walaupun ia lahir dari runtuhan Hizbul Muslimin tetapi dari segi faktanya memang Pas lahir dari rumah Umno. Ada di kalangan pemimpin Umo yang berjiwa Islam merasakan suatu kekosongan dalam bidang dan ruang gerakan politik jika Islam tidak disertakan sama. Mereka mahukan sebuah badan yang berdiri sendiri. (Mohd. Asri, 1993:37). Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa kelahiran Pas tiada ada kaitan dengan Umno tetapi lahir dari kesedaran ulama’ dalam Umno (Nasharudin Mat Isa, 2001:9). Penulis lebih menerima pandangan yang mengatakan Pas lahir daripada Umno secara formal, kerana waktu itu berlaku kekosongan wadah Islam apabila penjajah mengharamkan Hizbul Muslimin. Kebetulan Dato’ Onn Jaafar merupakan kawan baik kepada ustaz Haji Ahmad Fuad telah mengamanahkan kepada beliau untuk mengemudikan bahagian agama pada peringkat awal. Manakala Ustaz Fuad merupakan bekas penuntut Ehya’ al-Syarif maka sudah tentu fikrah perjuangan Hizbul Muslimin masih membara dalam jiwanya dan fikrah inilah yang cuba diserapkan dalam Pas.



[4]Perlantikan Tuan Haji Ahmad Badwi Abdullah untuk menubuhkan Dewan Pemuda Islam sebagai jawatankuasa kecil (Lujnah/biro) dalam Jawatankuasa Agung Pas menunjukkan ulama’ diberi kepercayaan untuk menerajui Dewan Pemuda Pas (Minit Mesyuarat Jatankuasa Agung Pas, 3 April 1952:1). . Mesyuarat tersebut juga bersetuju untuk melantik Ustaz Ahmad Badwi seorang ulama’ terkenal di Utara Tanah Melayu yang juga seorang ahli Jawatankuasa Agung Pas sebagi Ketua Dewan Pemuda Islam yang akan menjalankan kerja-kerja kepemudaan (Mohd. Fadli Ghani 2003:2)



[5] Pengaruh agama yang ada pada Dr. Haji Abbas Alias yang menjadi Yang Dipertua Pas kedua (1953-1956) kerana bapanya seorang Qadhi di daerah Sitiawan Perak. Bapanya rakan sekelas dengan Haji Ahmad Fuad. (Mohd. Fadli Ghani2003c:1)







[6] Isu Islam sangat berkesan dan menjadi focus dalam setiap pilihanraya dan menjadi hujah antara PAS dengan UMNO untuk menarik undi di kawasan Melayu. Lihat, K.J. Ratnam, Religion And Politics In Malaya, dlm. ,Reading On Islam Southeast Asia, pnyt. Ahmad Ibrahim, Sharom Siddique, Yasmin Hussain, Institute Of Southeast Asian Studies, Singapura, 1985, hlm. 145. Lihat, Fred R. Von Der Mehden, Malaysia Islam And Multiethnic Polities, dlm. Islam In Asia, Religion, Politics And Sosiety. Pnyt., John. L Esposito, Oxford University Press, N. York, 1982, hlm 184



[7] Dewan Masyarakat meletakkan dengan 3P (Pondok, Padi, Pas) kerana kawasan yang ada 3P ini adalah kawasan Melayu majoritinya. Lihat Mahathir Mohd. Khir, Politik Melayu, Satu Lawan Satu,_ Dewan Masyarakat. Jan, 1992 hlm. 26.



[8] Lulusan syariah dan undang-undang Islam dari Universitas Muhammadiyyah Padang. (Mohd Fadli Ghani, 2001: 12)



[9] Pada waktu itu sekolah agama dan pondok menjadi tempat Pas menjalankan operasinya. Ini dapat dilihat Kongres Pemuda Islam telah diadakan pada 25hb. Ogos 1953 di Bangunan Madrasah al-Ulum As-Syariyyah, Batu 20 Bagan Datoh, Perak. (Mohd. Fadli Ghani, 2003: 38)



[10] Pada waktu itu kebanyakan dari kalangan Tuan Guru yang terlibat dalam perjuangan dalam memantapkan iman dan akidah. Perjuangan secara organisasi pada masa itu masih belum wujud dalam erti kata yang sebenarnya. Walaupun pada ketika itu telah ada beberapa pertubuhan yang mulai bergerak mengikut aliran Islam, namun gerakannya masih disekitar daerah tertentu. (Mohd. Asri Haji Muda, 1993:32)



[11] T.R. Smith (Supervisorof elections), 1955:69 Report of The First Election of the legislative Council the federation of Malaya, Government Press, Kuala Lumpur, 1955, hlm. 69



[12] Penglibatan pondok dalam proses politik boleh dilihat sekurang-kurangnya dalam dua peringkat pertama ia memain peranan yang pasif iaitu sekadar menjadi kawasan politik yang di datangi oleh wakil-wakil politik untuk mencari pengaruh di dalam kawasan pondok. Kedua pondok sebagai pusat kegiatan parti politik dan menjadi taman melahirkan tokoh-tokoh politik dan menjadi rujukan kepada parti politik dalam soal agama. ( Mohamad Abu Bakar, 1985:317)



[13] Menurut Dato Mohd. Asri Hj Muda mesyuarat tidak rasmi Angkatan Muda dalam Pas telah menghantar wakil yang terdiri daripada Ustaz Abdul Wahab Noor, Ustaz Baharuddin Latif berjumpa dengan Dr. Burhanuddin al-Helmy. (Dato’ Mohd Asri Haji Muda 1993). Dr. Burhanuddin yang memang dibesarkan dalam suasana pendidikan agama di Sg. Jambu Sumatera selama dua tahun kemudian di Sekolah Pondok di Pulau Pisang Jitra Kedah kemudian beliau masuk belajar di Madrasah al-Mashor al-Islamiah Pulau Pinang dan dapat menguasai bahasa Arab dengan baik. (Kamaruddin Jaafar 2001:9)



[14] Ustaz Jamaluddin Amini adalah orang yang betanggungjawab membawa Prof. Zulkifli Mohammad ke dalam Pas pada 1955 (Mohd Asri Muda, 1993:45)



[15] Dato’ Asri menyertai Pas apabila dipelawa oleh Ustaz Othman Abdullah, walaupun pada peringkat awal ia enggan kerana menganggap Pas bukan sebuah parti yang serius untuk menegakkan Islam sebaliknya ia hanya menjadi parti tunggangan orang lain. Tetapi apabila ustaz Othman Abdullah memberi keyakinan bahawa ini yang wajib kita bersama dengan Pas dan membawa kearah yang diredai oleh Allah SWT. (Mohd. Asri Haji Muda, 1993:38). Mohd. Asri juga orang yang mendapat pendidikan agama di Madrasah Muhamadiah di Kota Bharu (Wan Hashim Wan Teh, 1993: 18)



[16] Dr. Burhanuddin yang lincah dalam politik sehinggakan ia boleh berbaik dengan Jepun dan menjanjikan kemerdekaan Tanah Melayu pada 17 Ogos 1947 bersama dengan Indonesia. Tetapi Jepun telah menyerah kalah pada 14 Ogos 1947, walau bagaimanapun Sukarno terus mengistiharkan kemerdekaan Indonesia. Dr. Burhanudin tidak boleh berbuat demikian di Tanah Melayu kerana kumpulan yang menentang Jepun menguasai keadaan. Jika kemerdekaan yang dijanjikan oleh Jepun dapat dilaksnakan maka Dr. Burhanuddin bakal Perdana Menteri pada waktu itu.(John Funston, 1980: 120)

Royalti Minyak : Najib Derhaka Wasiat Bapanya


Pada 1975, ketika Allahyarham Tun Abd Razak bin Hussein Al-Haj masih menjadi Perdana Menteri satu perjanjian telah ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berhubungan dengan sumber minyak Kelantan. Menurut terma perjanjian itu, Kelantan diberikan royalti sebanyak 5 peratus setahun dan dibayar tunai dua kali setahun untuk hasil minyak yang ditemui di kawasan pantai dan pesisirnya.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Kelantan mula mengeluarkan minyak sejak 2004 dan Laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, menyebut bahawa anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan adalah RM2.5 bilion setahun. Berdasarkan laporan itu kerajaan negeri Kelantan mengutus surat rasmi menuntut sebanyak RM1 bilion dari Kerajaan Persekutuan bagi jumlah royalti dan kerugian yang tidak pernah dibayar sejak 2004.



Tuntutan royalti minyak kelantan ini turut disokong oleh Ketua Pembangkang DUN Kelantan dari Umno, Datuk Md Alwi Che Mat pada julai lalu dan berharap agar Kerajaan PAS Kelantan mengemukakan bukti dan dokumen-dokumen berkaitan untuk menuntutnya. Malangnya, Dato' Seri Najib anak kepada Tun Razak menderhakai perjanjian yang buat di zaman pemerintahan ayahnya dan enggan membayar royalti seperti yang telah dipersetujui sebagai respon kepada kekalahan teruk BN di Kelantan pada PRU Mac 2008. Tindakan beliau jelas mengkhianati amanah perjuangan ayah beliau yang pastinya tidak akan tenang dalam kubur dengan kezaliman yang dilakukan pada hari ini terhadap rakyat Kelantan.



Seorang anak yang baik akan menyelesaikan segala hutang piutang dan janji arwah bapanya kepada sesiapa sahaja dengan harapan bapanya akan mendapat keredhaan Allah. Namun Najib tidak bertindak demikian, malah memungkiri wasiat yang telah dipersetujui di zaman pemerintahan bapanya. Inilah contoh anak derhaka yang juga zalim kepada rakyat demi kepentingan politiknya. Idea wang ehsan ditimbulkan bagi mempengaruhi pemikiran rakyat sebagai menunjukan sikap bermuka-muka beliau, walhal rakyat lebih jelas dengan isi perjanjian Petronas-Kelantan 1975.



Idea wang ehsan ini bermula dizaman Tok Guru Najib iaitu Tun Mahathir yang ketika itu tertekan dengan kemenangan mengejut PAS di Terengganu.

Bagi membalas tindakan rakyat Terengganu yang menolak Kerajaan BN, maka Mahathir menarik balik wang royalti minyak Terengganu dan mengantikannya dengan wang ehsan. Maka bermulalah sejarah wang ehsan iaitu satu pakej yang dibuat oleh BN khusus untuk negeri-negeri yang dikuasai oleh Parti bukan BN. Keadaan ini berbeza dengan negeri Sabah yang diperintah oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) dari tahun 1985-1994.

Walaupun ketika itu Sabah tidak dikuasai BN, namun royalti minyak tetap diberikan bukannya wang ehsan.



Maka jelaslah bahawa BN yang kini dipimpin Najib sengaja untuk menzalimi rakyat Kelantan dan menderhakai wasiat bapanya.



Ust. Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat



Thursday, December 3, 2009

Kenyataan Media Dewan Pemuda





KENYATAAN MEDIA


DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

BTN MEMANG ALAT INDOKTRINASI UMNO SEJAK SEKIAN LAMA

(1 Disember 2009)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta kerajaan mengkaji balik keberkesanan kursus Biro Tata Negara (BTN) yang diadakan selama ini. Ini kerana BTN sudah mula dicurigai sebagai alat untuk indoktrinasi rakyat terhadap UMNO-BN serta menanam kebencian terhadap pembangkang.

DPPWP melihat tindakan kerajaan Selangor yang melarang kakitangannya menghadiri kursus BTN adalah sebagai respons terhadap penyelewengan yang berlaku dalam kursus BTN. DPPWP percaya kerajaan Selangor sudah mempunyai cukup maklumat bagaimana kursus BTN yang dijalankan sejak sekian lama telah lari dari matlamat asal penubuhannya.

Matlamat asal kursus BTN adalah untuk membina budaya yang positif dari kalangan peserta termasuk semangat cintakan negara, memupuk perpaduan, toleransi dan sebagainya. Seharusnya kursus seperti ini yang telah bertapak lamanya mampu menambahkan nilai-nilai murni serta budaya positif dari kalangan peserta.

Sebaliknya secara umum boleh dilihat bahawa jumlah peningkatan gejala sosial serta jenayah dalam negara ini tidak pula berkurang, bahkan semakin tahun ia bertambah. Apakah BTN yang telah dijalankan sejak bertahun-tahun lamanya gagal mengekang anak-anak muda daripada terlibat dengan budaya liar serta jenayah. Mungkinkah kursus yang sebaik ini telah dipolitikkan sehingga gagal membentuk masyarakat yang berjiwa positif.

Adakah nilai patriotisme yang diterapkan dalam BTN adalah sekadar mengibar bendera Malaysia ketika sambutan hari kemerdekaan sehingga melupakan aspek yang lebih besar seperti menyayangi negara daripada dipimpin oleh pemimpin yang terlibat dengan gejala negatif seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Adakah patriotisme hanya dengan menyokong kerajaan UMNO-BN sebaliknya yang menyokong pembangkang dianggap penderhaka?

DPPWP mempersoalkan adakah peratus kefahaman serta kesedaran peserta terhadap patriotisme semakin meningkat atau sekadar menambah bilangan ahli UMNO atau Barisan Nasional hasil dari kursus BTN.

Justeru DPPWP mendesak supaya kajian terperinci dibuat bagi melihat keberkesanan modul BTN. Modul serta segala isi pengajarannya termasuk penceramah perlu didedahkan kepada umum satu persatu bagi melihat punca masalah yang berlaku serta apakah benar BTN telah disalahgunakan bagi mendoktrinkan peserta bagi menyokong Barisan Nasional serta menghasut mereka membenci pemimpin Pakatan Rakyat. DPPWP menyokong kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang mengharamkan kursus Biro Tata Negara (BTN) seandainya kerajaan tiada hasrat mengubah modul serta pendekatan kursus tersebut yang menjurus ke arah indoktrinasi Barisan Nasional.



Disediakan oleh
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Konvensyen Blogger


sumber: http://dppwp.wordpress.com

Konvensyen Blogger PAS akan diadakan pada 20 Disember 2009 (Ahad) di Markaz Tarbiyyah PAS Taman Melewar.


Pendaftaran Blogger masih dibuka sehingga 11 Disember 2009.



Untuk pendaftaran, para bloggers diminta untuk menghantar email ke – penerangan.paspusat@yahoo.com atau hubungi Sekretariat Penerangan PAS Pusat ditalian 03-2692500 ext 310.

Maklumat yang diperlukan adalah seperti berikut:

Nama
No. Ahli Pas
No. HP
Alamat Blog
Email

Thursday, November 12, 2009

Perjuangan Era 80'an : Sebuah Kerinduan


posted by Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi
Tarikh : Saturday, August 02


Terkenang bagaimana detik awal saya menyertai perjuangan suci ini . Kala itu ( 1985 ) usia saya baru mencecah 15 tahun . Selepas menduduki peperiksaan SRP , ayah meminta agar saya mengisi borang keahlian PAS.

Kesedaran awal berputik dari mimbar Masjid Rusila setelah saya mendengar buat pertama kalinya khutbah dan kuliah mingguan yang disampaikan oleh al Fadhil Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang . ( Waktu itu saya ditukarkan ke Sekolah Menengah Marang ( untuk Tingkatan 4 aliran sains ) dan menyewa di rumah allahyarmah Tok De di Rusila. )

Pertengahan 1986 saya melangkah kaki ke Madrasah ad Diniah al Bakriah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pasir Tumbuh meninggalkan sekolah menengah dengan mengikut seorang kenalan ( yang datang berniaga di Rusila ) ke Pasir Tumbuh . Madrasah inilah menjadi saksi bagaimana saya menjalani proses pemulihan fikrah dan terapi spiritual agar kembali menjadi “manusia” yang menepati objektif penciptaannya.

Selain mengambil silibus pengajian di pondok Pasir Tumbuh , saban bulan saya akan menyertai siri tamrin pemantapan fikrah dan qiamulail yang diadakan di Dewan Zulkifli Mohamad Kota Bharu . Tamrin ini biasanya dikelolakan oleh al Marhum Ustaz Musthafa Rusdi .

Tokoh – tokoh pimpinan yang biasa diundang untuk memberi pengisian di majlis tamrin tersebut ialah al Fadhil Ustaz Yahya Othman , al Marhum Ustaz Mawardi Tok Kenali , al Fadhil Ustaz Wan Daud , al Marhum Ustaz Nik Abdullah ( Pak Nik Lah ) dan lain – lain yang terdiri kepimpinan pemuda negeri dan pusat .

Dari dalam pondok , saya menyertai gerakan pelajar melalui usrah yang dibentuk . Tokoh yang banyak membantu saya membentuk syakhsiyyah dan fikrah pejuang ini ialah Al Fadhil Ustaz Muhaiyyidin Husain ( Pondok Sungai Durian ) , Al Fadhil Ustaz Mokhtar Senik , al Fadhil Ustaz Asmui Sondeng , al Fadhil Ustaz Ramli Sidom , al Fadhil Ustaz Zaini , al Fadhil Ustaz Abdul Aziz , al fadhil Ustaz Nazri Mansur dan lainnya . Semua mereka adalah guru saya yang bertanggungjawab membawa saya ke pentas perjuangan.

Tentu sahaja ilmu Islam dan asas agama dibawah didikan al Fadhil Tuan Guru Hj. Hashim , al Fadhil Ustaz Rahim , al Fadhil ustaz Abu Bakar , al Marhum Tuan Guru Hj. Atiqullah menjadi pemangkin buat diri saya berubah aliran dari system jahiliyyah kepada Islam.

Sepanjang pengalaman saya bersama PAS , era 80’an adalah era yang kaya dengan pengisian tarbiyyah , pemantap fikrah dan pemerkasaan ruuhiyyah .

Tamrin , mukhayyam , katibah , qiamulial , usrah dan ijtimak adalah aktiviti yang “terhangat di pasaran jamaah “ . Kebanyakan ahli dan pemimpin bercakap soal tarbiyyah . Kalau saja bertemu sesama sendiri , topic yang dibincang selain politik ialah bagaimana pengalaman manis dan seronok menyertai tamrin di sana , mukhayyam di sini dsbnya.

Saya sendiri , apabila pulang ke kawasan pada musim cuti pengajian pasti tidak melepaskan peluang mengadakan mukhayyam bersama rakan – rakan di kawasan . Sehingga kini , apa yang saya ingat sudah lebih seratus cap kehadhiran dan penyertaan saya bersama dengan mukayyam . Dulu memang saya kaki tamrin dan kaki mukhayyam .

Suasana tarbawi sangat dirasai dan ia wujud di mana – mana . Pemimpin yang tidak menyertai atau mengadakan usrah dianggap pelik dan mengaibkan. Buku – buku tarbiyyah adalah bahan bacaan yang “terlaris di pasaran” berbanding buku – buku agama lain. Buku Maza Ya’ni karya ustaz Fathi Yakan , Mabadi’ lil Islam karya al Maududi , Muqaddimah Aqidah Muslimin karya Tuan Guru Hj. Abdul Hadi adalah antara buku yang sering habis dalam pasaran.

Ceramah pimpinan PAS dipelbagai peringkat kebanyakan berkisar soal aqidah perjuangan yang membezakan antara iman dan kufur. Isu politik hanya disentuh 30 atau 20 minit terakhir ceramah mereka . Kuliah agama yang dikelolakan oleh pimpinan PAS tidak ubah seperti pesta terutamanya di Masjid Rusila , Masjid Pulau Melaka dan lainnya.

Setiap kali pimpinan PAS turun berceramah , orang ramai sanggup menumpang belakang lori untuk menghadhiri majlis ceramah . Masih terlalu segar dalam ingatan saya , bagaimana saya mengayuh basikal dari Pondok Pasir Tumbuh ke Kampung Raja Besut untuk menghadhiri satu majlis ceramah yang disampaikan oleh al Fadhil Tuan Guru Hj. Abdul Hadi , al Fadhil Ustaz Awang Bakar , al Fadhil Ustaz Harun Jusoh dan Al Fadhil Ustaz Kassim .

Rata – rata hubungan ahli PAS dengan pemimpin mereka tidak terhenti setakat hubungan antara ahli dengan pemimpin tetapi lebih kepada hubungan murid dengan guru . Hormat ahli kepada pemimpin tidak ubah seperti seorang anak murid menyerah diri kepada guru mursyidnya .

Tidak dinafikan , terkadang ada juga berlaku krisis dan pergeseran , tetapi secara umumnya , ia sedikitpun tidak melunturkan ketaatan , kesetiaan atau wala’ ahli kepada pemimpin mereka . Mereka masih tahu cara menghormati pemimpin dan menjaga maruah jamaah .

Saya cukup merindui suasana dulu . Suasana yang penuh dengan aktiviti amal tarbawi . Dididik , ditegur dan dinasihati oleh naqib usrah adalah satu ke”nikmatan”. Diarah dan disuruh oleh pimpinan pula adalah satu “kepuasan” .

Saya percaya bahawa kenikmatan dan kepuasan itu datang dari suasana pentarbiyyahan yang dilalui secara konsisten. Suasana yang mampu meletakkan saya rasa berdosa dan bersalah apabila gagal melaksanakan tugasan jamaah. Saya merindui kenangan lalu , dikelilingi sahabat dan rakan yang sangat tinggi nilai ukhuwwahnya. Pantang tidak bertemu biar pun 2 atau 3 hari Cuma , pasti sahaja pertemuan segera di atur . Pertemuan akan berlangsung di tepi pantai , di tepi sungai , di kaki bukit , di pulau , di surau atau di markaz . ( hotel belum dikenali pada waktu itu . )

Kalau anggota satu usrah , hubungan kami tak ubah seperti adik beradik kembar . Pakai baju pun nak sama ( masa tu kami tak pandai lagi nak buat uniform berlambang parti atau baju korporat cop bulan ), keluar ke Bandar pun nak sama – sama , pergi program pun nak sama – sama . Kami redah susah senang bersama . Kalau seorang antara kami anggota usrah sakit atau ditimpa kesempitan nescaya yang lain pasti turut berkongsi derita.

Usrah Asy Syabab ! itulah nama usrah saya yang pernah bertahan 12 tahun lamanya . Zaman itu adalah zaman usrah dan zaman tarbiyyah. Saya sungguh merinduinya . Markaz di zaman itu tidak banyak tetapi majoritinya aktif dengan solat jamaah dan usrah . Paling tidak hanya pertemuan biasa sambil berbual mengenai jamaah , bertanya khabar ahli serta isu semasa dan menikmati juadah ringan .

Sungguh saya merindui saat dan detik seperti itu . Apakah ia tidak akan berulang lagi ? Bukan saya tidak suka berprogram dihotel , tidak juga saya menganggap kepimpinan hari ini tidak baik dan tidak lah pula saya mengatakan bahawa hari ini tiada tarbiyyah , tetapi …… saya merindui suasana dulu !

Namun , suatu yang perlu diinsafi tanpa perlu kita menuding kepada sesiapa . Hari ini kalau kita nak dengar perkataan tamrin dalam tempoh satu hari memang susah . Terkadang berlalu bagi tempoh satu bulan tanpa kedengaran perkataan tamrin apalagi programnya , demikian juga mukhayyam atau qiamulail .

Saya memahami betapa perlu kita berkembang mengikut tumbesar zaman dan eranya , tetapi perkara yang bersifat fundamental wajar dipertahan merentas zaman . Saya mungkin bersetuju bentuk aktivitinya boleh berubah mengikut kesesuaian tetapi roh dan semangat program amal tarbawi mestilah dikekalkan.

Saya juga percaya di mana saya tidak bersendirian dalam menanggung rindu seperti ini . Sahabat yang pernah melalaui zaman dan pengalaman seperti saya pastinya turut menyimpan rindu yang mendalam .

Bagi mengubati rindu yang sekian lama memendam rasa , saya mengharapkan rijal – rijal tarbawi yang wujud melata dalam jamaah ini kembali bangkit . Saya dapat merasakan bahawa inilah zaman atau detik kebangkitan semula era gemilang amal tarbawi setelah jenuh kita menyaksikan berlakunya perlecehan terhadap amal tarbawi oleh sebahagian yang tidak menjiwainya bahkan turut disaksi bagaimana agenda politik kepartian seakan mengatasi ruh amal Islami dan apa yang lebih malang ialah berlakunya krisis fikrah dan aqidah perjuangan dikalangan sebahagian anggota jamaah .

Inilah zamannya untuk tarbiyyah kembali dinobat malah didaulatkan sebagai agenda “wajib laksana” di semua peringkat parti bermula dari kepimpinannya yang paling tinggi hinggalah kepada anggotanya yang paling rendah .

Saya yakin , ramai anggota jamaah boleh bersetuju dengan saya apabila saya mengatakan bahawa nilai ukhuwwah fillah dikalangan anggota jamaah ( termasuk pemimpinnya ) mencapai tahap kritikal.

Demikian mutu ketaatan terhadap pimpinan dan kesetiaan terhadap jamaah juga tidak berada pada tahap yang meyakinkan .

Baiah mereka kian longgar dan wala’ mereka pula kian lekang dari hari ke sehari lantaran aktiviti amal tarbawi semakin terpinggir dari agenda utama parti dan suasana tarbawiyyah semakin lenyap dari kehidupan harian anggota parti / jamaah .

Rindu ini kembali terubat andai kita semua Berjaya mengembalikan kegemilangan amal tarbawi di dalam jamaah kita tanpa kita mengabaikan aspek tajdid dalaman parti . Masih ingat kah kita kepada ucapan al marhum Ustaz Fadhil Mohd Noor agar kita : contemporary dalam tindakan , fundamental dalam berprinsip dan bersikap futuristic dalam merancang atau merencana .

Begitu juga perlu kita mengambil iktibar terhadap apa yang pernah disebut oleh Abu Hasan Ali An Nadwi :


الجمع بين القديم الصالح و بالجديد النافع
Menggabungkan tradisi yang soleh dengan penemuan baru yang bermanafaat .


Demikian jua kenyataan al Imam Malik rhm yang perlu dihayati :

لا يصلح آخر هذه الأمة إلا بما صلح به أولها .
Tidak akan gemilang umat ini melainkan turut melaksanakan apa yang menjadikan umat terdahulu gemilang.




Friday, November 6, 2009

Ahli PAS Kena Bijak Menghadapi Fitnah Media


Posted on Oktober 27, 2009 by ustazidrisahmad


Kenyataan Media

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengingatkan setiap ahli agar bijak dalam membaca sebaran berita di internet khususnya dalam blog, facebook dan juga media massa lainnya. Pada waktu ini PAS mendapati semakin banyak tuduhan liar dilontarkan oleh CyberTrooper Umno yang menyamar sebagai ahli PAS atau wakil pimpinan PAS di dalam media alternatif ini.

PAS mendapati mereka mengunakan isu Unity Goverment dan juga cadangan Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat bagi menunjukan bahawa PAS kini berpecah.

Pemimpin Umno seperti Najib Tun Razak, Muhyiddin Yasin dan Zahid Hamidi bersilih ganti menangguk di air keruh dengan memberikan komen seolah-olah PAS kini sedang berpecah yang mana sebahagiannya mengambarkan seperti ada kumpulan dalam PAS yang mahu bergabung dalam Umno, sebahagian lagi mahu Mursyidul Am dan Presiden letak jawatan.

Dalam ucapan Muktamar yang lepas, telah dijelaskan oleh Presiden, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang, bahawa PAS tiada hasrat untuk bergabung dengan Umno dan isu Unity Goverment tidak berbangkit lagi.

Sehubungan dengan itu, kewujudan fitnah seolah-olah wujudnya pertemuan sulit pimpinan PAS yang Pro Unity Goverment dan Pro-Erdogan wajar difahami ahli sebagai satu gerak kerja saraf Umno untuk memecahkan parti ini kepada dua kelompok. Sesungguhnya tiada sebarang pertemuan sulit yang dilaporkan dan belum ada bukti yang diterima diperingkat kepimpinan PAS tentang kewujudan dua kumpulan ini melainkan individu-individu yang berbeza pandangan dengan pimpinan.

PAS melihat, selain jalan Musyawarah perlu juga Laporan Disiplin dibuat bagi mengesahkan setiap tuduhan yang dibuat untuk memudahkan kita mengetahui asal punca masalah ini.

Lembaga Disiplin PAS juga membuka ruang yang seluas-luasnya terhadap mana-mana pimpinan dan ahli yang mempunyai bukti mengenai fitnah ini atau mereka-mereka yang menyebarkan berita bahawa terdapat segelintir pimpinan PAS sedang berusaha membawa PAS bergabung dengan Umno untuk membuat Laporan Disiplin. Jika ada laporan dan bukti yang sahih kita akan membuat keputusan, walaupun yang didakwa itu Mursyidul Am, Presiden atau mana-mana pemimpin tertinggi parti sekalipun.

PAS yakin kerja-kerja fitnah CyberTrooper Umno dan mereka-mereka yang kononnya menjadi ahli PAS tetapi bekerja untuk Umno akan mati dengan sendirinya jika sebarang Laporan Disiplin gagal dibuat dan tiada sebarang pembuktian diserahkan kepada pihak Lembaga.

PAS meminta ahli bertenang dan tidak membuat sebarang ulasan terbuka mengenai perkara ini dan memberikan ruang kepada pemimpin bermusyawarah bagi mencari punca masalah ini. Gunakanlah saluran yang ada (Lembaga Disiplin) bagi mencari kebenaran dan menguatkan Ukhuwah dalam parti.

Marilah kita bersama-sama melakukan solat hajat moga mereka yang cuba menganiaya parti ini diberikan hidayah oleh Allah untuk menginsafi perbuatan mereka. Kita mohon pada Allah semoga PAS dileraikan dari belenggu fitnah dan perjuangan kita terus mendapat hidayah dariNya.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat




Wednesday, October 28, 2009

KEPIMPINAN: AMALAN DAN REALITI DALAM PERJUANGAN PAS

Sumber: http://ydppasputrajaya.blogspot.com

Ustaz Idris Ahmad

Muqaddimah

Tidak disebut perjuangan kalau tanpa pengorbanan. Islam tidak menang kalau tidak ada pengorbanan di kalangan para rasul dan nabi-nabi. Merekalah orang yang paling banyak diuji oleh Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud:-

“Orang yang paling dahsyat menerima ujian adalah para nabi, kemudian ulamak dan orang yang seumpamanya”

Dalam konteks kedatangan Islam di negara ini Islam sampai melalui pengorbanan yang dilalui oleh mereka yang terdahulu mengharungi lautan dan obak badai yang memukul perjalanan mereka. Kerana Islam mereka sanggup bekorban apa sahaja.

Kepimpinan adalah mereka yang mesti banyak bekorban dan berjuang, kerana mereka adalah orang yang paling penting dalam konteks menguruskan perjuangan. Lebih-lebih lagi menjadi pemimpin Pas yang perlu banyak bekorban. Memimpin Pas bukan satu status kemasyhuran tetapi ia sebagai tanggungjawab, kerana Pas sebagai sebuah parti pembangkang yang sentiasa diburu dan diperhati oleh musuh dalam dalam luar negara.

Kepimpinan boleh difahami sebagai satu mekanisme untuk menggerakkan usaha merealisasikan beberapa kepentingan individu serta juga kepentingan-kepentingan masyarakat.

1. Dalam sains Masyarakat pula, konsep kepimpinan atau kepemimpinan ini dikaitkan dengan faktor-faktor setempat atau alam sekeliling di mana pemimpin itu berada. Kepimpinan itu wujud dalam organisasi dan segala tindakan yang berkesan dan berkait rapat dengan sesuatu organisasi.

2. Rumusan bahawa kepimpinan adalah satu proses dalam mana individu yang diberikan amanah menduduki sesuatu kedudukan yang lebih tinggi dari ahli lain telah dilengkapkan dengan kuasa yang sah untuk menjalankan kegiatan bagi mencapai suatu objektif yang telah diamanahkan kepadanya. Dalam aspek ini amanah yang diberikan bukan sahaja kepercayaan menguruskan pertubuhan, organisasi atau projek tetapi kepercayaan memimpin ahli-ahli lain dari segi memberikan bimbingan, semangat dan pimpinan yang berkesan.

Fungsi Kepimpinan

Membentuk dan membimbing ahli bawahnya kearah kejayaan dunia dan akhirat.
Menyatu padukan kumpulan dengan bertindak sebagai pakar rujuk, orang tengah, penasihat, kawan, pendengar yang sabar dan sebaginya
Mewujudkan suasana yang selesa untuk membolehkan orang yang dipimpin menjadi cemerlang. Ini termasuklah dengan memberi dorongan berdasarkan ganjaran atau teguran.
Merancang, menyelia dan menilai prestasi setiap tugasan yang diberikan kepada anggota organisasi.

Setiap aspek pengurusan dijalankan dengan penglibatan yang bermakna dari ahli dan memberikan rangsangan yang berterusan. Matlamat bagi setiap kegiatan dinyatakan dengan jelas agar wujud kepaduan dalam tindakan dan objektif.


Memudahkan perhubungan di kalangan anggota organisasi. Ini mengambil kira kaedah penyaluran maklumat yang sesuai dan berkesan. Tegasnya kepimpinan organisasi perlu mahir mengenai teknik komunikasi sama ada antara perseorangan, kumpulan kecil atau kumpulan besar.

Keberkesanan Dan Ciri Kepimpinan Yang Baik

Pemimpin mestilah mempunyai ciri-ciri yang dinamik dan seorang yang beriniasitif iatu punya kebolehan memberi pendapat dan mengemukakan idea-idea baru serta megamalkannya. Adalah menjadi kewajipan pemimpin berusaha menggerakkan pengikut-pengikut kearah pencapaian matlamat.

Seorang pemimpin mengetahui kehendak-kehendak pengikutnya (dalam setengah suasana, bukan dalam semua keadaan) dan berusaha untuk memandu pengikut-pengikut kearah matlamat yang direncanakan. Dengan adanya hubungan baik antara pemimpin dan pengikut sudah tentu dapat mewujudkan kejayaan bagi sebuah organisasi atau pertubuhan.
Untuk menjamin kejayaan dan keberkesanan berterusan sesebuah organisasi maka perlu dipupuk sifat kerjasama dan toleransi antara pemimpin dan pengikut. Pemimpin mesti memainkan peranan penting dalam proses membuat keputusan untuk mempengaruhi orang lain berpelakuan selaras dengan oreintasi jamaah.

Selain dari itu pemimpin juga berperanan memastikan suatu matlamat atau objektif yang hendak dicapai itu bersifat kolektif. Aspek ini penting kerana tanpa adanya kata sepakat dalam satu-satu organisasi , sudah tentu tidak wujudnya keberkesanan dalam menyusun aktiviti-aktiviti organisasi

Ia mesti berkecuali dalam satu krisis, bersifat berani membuat keputusan dan menghadapi krisis dengan tenang. Seorang pemimpin mesti tegas dalam prinsip dan hak dan bertolak ansur pada perkara yang cabang. Disamping itu seorang pemimpin juga mestilah bertimbang rasa dengan orang-orang di bawah pimpinannya, Kebolehan mengeluarkan idea-idea untuk perubahan, cekap dalam pentadbiran. Bijak menguruskan perjuangan dan bersemangat dan terarah. Ia mesti melebihi kepentingan jamaah daripada kepentingan peribadi.
Ia harus membuat keputusan secara kolektif bukan secara peribadi.
Tidak menghasut
Tidak mengamalkan puak-puak.
Ianya menentukan kerja-kerjanya dan kerja kerja anggotanya dengan jelas supaya tidak keliru. (wujudnya pembahagian tugas/lajnah)

Seorang pemimpin yang baik ia tahan lasak dan bersusah payah dengan ahli dan orang bawahan. Sentiasa berperanan insaf dengan kesusahan pengikutya dan bersungguh memperjuangkan nasib dan cita mereka.

Pemimpin mesti berkebolehan dalam berbagai aspek kepimpinan, bijaksana dan mempunyai keyakinan diri untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.
Penguasaan, menggunakan kuasanya di dalam mengambil tindakan membuat keputusan dan mengeluarkan pendapat.

Komunikasi, memberikan maklumat yang diperlukan oleh pengikut-pengikutnya, penukaran maklumat atau menunjukkan kesedaran tentang perkara-perkara semasa.
Penghargaan, tingkahlaku yang menunjukkan penghargaan terhadap usaha-usaha yang dilakukan oleh anggotanya.

Merencanakan tahap-tahap dan pencapain usaha yang harus dicapai oleh pengikut
Sunggauhpun begitu untuk menentukan keberkesanan suatu pimpinan harus juga dilihat kepada kriteria-kriteria yang lain iaitu seperti penerimaan oleh anggota anggota kumpulan
Untuk menentukan sesuatu keberkesanan pimpinan perlu juga diukur sejauhmanakah pemimpin sesebuah organisasi itu berjaya meghadapi cabaran dalaman dan luaran. Ini bermakna apabila seorang pemimpin berjaya menghadapi suasana yang tegang dengan penuh yakin sudah tentu ia akan menambahkan keyakinan di kalangan ahli atas kepimpinannya.
Realiti Perjuangan Dan Pengorbanan Dalam Memimpin PAS

Bukan senang memimpin Pas sebagai sebuah jamaah Islam dan menjadi parti yang sentiasa mencabar kemungkaran yang dilakukan oleh Umno/BN. Kuasa yang mempunyai segala kekuatan material dan sokongan. Tetapi kita memimpin PAS berbekal kekuatan iman dan aqidah yang mantap dengan keyakinan mendapat kemenangan di akhirat.
Memimpin ummat kearah penghayatan Islam yang syumul bukan hanya dalam bentuk hadhari sahaja. Satu cabaran kepada kita kerana yang kita memimpin jamaah yang mengajak kepada perkara samiyyat bukan kepada kebendaan semata-mata. Pihak musuh menawarkan perkara yang nampak di depan rakyat.

Sebagai pemimpin yang terpaksa mengorbankan segala wang ringgit.
Sudah menjadi lumrah pemimpin terpaksa mengorbankan masa untuk memikirkan Islam di tegakkan di atas muka bumi ini.

Terpaksa mengorbankan kenaikan pangkat dalam profesion yang diceburi walaupun kita mempunyai merit untuk naik. Tetapi dasar pilih kasih dan tidak demokratik perkara ini perlu dilupakan sahaja. Banyak yang nampak untuk membina kerjaya terpaksa berundur dan melupakan perjuangan walaupun pada asalnya begitu bersemangat.
Kadang-kadang terputus tali persaudaraan kerana memimpin parti, kerana kita dianggap anasir perosak negara.

Oleh kerana masa yang begitu terhad hubungan dengan jiran pun terbatas.
Realiti dalam Pas ramai pengikut tapi kurang orang yang hendak kedepan memimpin. Akhirnya seorang pemimpin terpaksa memikul tugas yang bertimbun-timbun, kerana yang lain semuanya tidak mahu memikul.

Realiti yang dihadapi oleh pemimpin Pas masa yang begitu kurang dengan anak-anak. Justeru itu anak-anak perlu diberi tarbiah inilah perjuangan Pas.
Oleh kerana Pas sebagai sebuah gerakan ummah maka keahliannya terbuka. Ini satu perjuangan yang besar kepada mereka yang memimpin Pas untuk menguruskan ahli yang berbagai status untuk disesuaikan dengan piawai standard minimum sahaja.
Pengorbanan seorang pemimpin ialah apabila ia menghilangkan sikap ego ketika memimpin Pas dengan merai ahli Pas yang berbagai latar belakang. Walaupun beliau bijak macam mana pun dia perlu menurunkan darjat ananiah (keakuanku sahaja) daripada dirinya. Kerana yang ia memimpin ini satu jamaah yang Islam, bukan badan kerajaan atau swasta, bukan gerakan elit, ahlinya bekerja secara sukarela bukan ada gaji.

Perkara Yang Perlu Dijauhi Oleh Seorang Pemimpin

Malas untuk hadir mesyuarat.
Hanya tunggu arahan
Malas berfikir.
Tidak tahu pilih mana keutamaan.
Malas hadir ke program latihan.
Malas bertanya kepada orang yang tahu.
Tidak tegas dengan keputusan.
Jangan Sombong
Penakut dan kedekut.
Jangan Riya’
Jangan mementingkan diri sendiri semata-mata.
Pemikiran yang sempit
Membuat keputusan yang lemah
Payah menerima pandangan orang
Bagaimana Untuk Menjadi Pemimpin Yang Berjuang Dan Berkorban.

Menjauhkan diri dari melakukan maksiat sama ada yang besar atau yang kecil
Memberikan perhatian mengenai sunnah perjuangan Islam (PAS) adalah payah. Bukan di hampari dengan permaidani merah.

Bersedia untuk berhadapan dengan halangan
Sentiasa mendampingi orang soleh dan berjiwa besar
Sentiasa mengkaji dan merujuk buku-buku sirah
Sentiasa mengingati mati dan siksa kubur
Sentiasa mengingati syurga dan neraka
Melakukan muhasabah keatas diri dan mengkaji setiap masa
Keinginan diri sendiri untuk mempertingkatkan kerja parti.
Mesti merasakan kita boleh seperti orang lain boleh.
Bertanya dan berbincang dengan orang yang tahu
Berbincang dengan cawangan lain atau kawasan lain untuk ambil
pengalaman dan dilaksanakan di cawangan masing-masing.
Menyediakan jadual latihan mengikut keutamaan.
Bersedia untuk menerima latihan.
Banyakkan mesyuarat dengan ahli jawatankuasa.

Kesimpulan

Segala apa yang diberikan adalah sebahagian daripada usaha penulis untuk berkongsi pengalaman bagi menggerakkan jamaah Pas ke arah yang lebih cemerlang. Penulis dengan rasa rendah diri bahawa apa yang ditulis ini adalah ideal bagi sifat seorang pemimpin dan ianya tidak dimiliki sepenuhnya oleh penulis tetapi kita mesti bersama-sama untuk mencapai kearah itu.

Anda mungkin juga meminati:

Sorotan Sejarah 35 Tahun Pas Wilayah Persekutuan

Sumber: http://ydppasputrajaya.blogspot.com

Pengenalan
Mengikut catatan sejarah Cina, Lembah Kelang disebut sebagai Ko-lo yang wujud semenjak zaman Dinasti Han (220M). Menurut catatan sejarah Arab dan India pula Kelang yang disebut sebagai Kalah (Killah, Kalr, Qal’ah atau Qal’) merupakan sebuah pelabuhan enterport yang masyhur dengan bijih timah pada abad kelapan hingga ke-10 juga merupakan tempat terawal didatangi oleh pedagang di Tanah Melayu. Pada abad ke-14, catatan sejarah Cina menamakan Lembah Kelang sebagai Ku-lei. Bermula abad ke-15 lagi iaitu pada zaman Empayar Melaka sebagai sebuah pusat perlombongan bijih timah. Pada masa itu, daerah ini dikenali sebagai Daerah Kelang, sebuah jajahan Melaka yang berpenghulukan Tun Perak (1946-1448). Sehingga kejatuhan Empayar Melaka pada 1511, Kelang terus berada di bawah kekuasaan Melaka.



Pemerintahan orang Bugis di Lembah Kelang bermula apabila Raja Lumu dilantik menjadi Sultan Selangor yang pertama pada 1760. Kesultanan ini memerintah Selangor sehingga hari ini. Pengkalan Lumpur, sebuah perkampungan Melayu yang mengusahakan bijih timah merupakan tempat pertemuan antara Sungai Kelang dan Sungai Gombak (Sg Lumpur) di tengah-tengah Lembah Kelang yang dibuka oleh Raja Abdullah, Penghulu Kelang pada 1857. Pada tahun 1868, Yap Ah Loy, seorang saudagar Cina dilantik sebagai Kapitan Cina telah membangunkan semula Kuala Sungai Lumpur yang terbakar akibat Perang saudara pada 1873 sebagai sebuah bandar untuk perdagangan bijih timah dengan nama Kuala Lumpur.

Kepentingan semakin bertambah apabila Inggeris memilih Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1896. Kemudian pada 1946 ia menjadi ibu negeri Malayan Union iaitu gabung semua negeri di Tanah Melayu. Pada 1948, Kuala Lumpur menjadi ibu negeri Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, Kuala Lumpur terus dikekalkan sebagai ibu negara sehinggalah menjadi ibu negara Malaysia yang ditubuhkan pada 1963. Menjelang 1 Februari 1972, Kuala Lumpur dinaikkan taraf sebagai bandaraya dan dua tahun kemudian Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada 1 Februari 1974 telah ditadbir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di bawah seliaan Menteri Wilayah dan juga Jabatan Perdana Menteri. Wilayah Persekutuan kemudiannya berkembang apabila Labuan, sebuah pulau di perairan Sabah diistiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984. Pada 1 Februari 2001 pula, Putra Jaya sebuah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan telah diisyitiharkan sebagai Wilayah Persekutuan. Kini Wilayah Persekutuan meliputi tiga kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

PAS Bertapak di Kuala Lumpur
Sejarah penubuhan PAS di Kuala Lumpur telah bermula semenjak 1952 iaitu sebaik sahaja penubuhan PAS pada 24 November 1951. Setelah PAS ditubuhkan secara rasmi dalam Persidangan Persatuan Ulama SeMalaya pada 24 November 1951, sebuah Jawatankuasa Agung PAS telah dibentuk dengan diketuai oleh Ustaz Tuan Haji Ahmad Fuad bin Hassan selaku Yang DiPertua Agung PAS. Jawatankuasa Agung PAS ini telah bermesyuarat buat kali pertama pada 3 April 1952 dan memutuskan supaya cawangan-cawangan PAS ditubuhkan oleh ahli-ahli PAS di kawasan masing-masing.
Cawangan PAS yang pertama ditubuhkan ialah di Butterworth pada 9 Mac 1951 oleh Ustaz Ibrahim Aqibi dan diikuti pula oleh Cawangan Kuala Kangsar pada 10 April 1952 oleh Tuan Guru Abdul Samad Nuh. Cawangan Kuala Lumpur pula telah ditubuhkan secara rasmi pada 13 Julai 1952. Persidangan yang membawa kepada penubuhan PAS Cawangan Kuala Lumpur ini dihadiri oleh 40 orang ahli PAS di sekitar Kuala Lumpur dan Ustaz Mas’ud Hayati dilantik sebagai Ketua Cawangan PAS Kuala Lumpur yang pertama.

Sebenarnya, sebelum Ustaz Mas’ud Hayati dilantik menjadi Ketua Cawangan PAS Kuala Lumpur, seorang ulama terkenal di Lembah Kelang, Ustaz Mohd Noor Mahyuddin dari Segambut telah dilantik sebagai Naib Yang DiPertua Agung PAS bagi zon tengah. Beliau telah menggerakkan PAS sebagai sebuah pertubuhan politik Islam di Lembah Kelang ketika Pejabat Agung PAS masih lagi berpusat di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Kerancakan gerakan PAS di Kuala Lumpur semakin bertambah apabila Pejabat Agung PAS berpindah ke Kuala Lumpur pada penghujung 1955. Rumah Ustaz Mohd Noor Segambut telah dijadikan pejabat sementara sebelum berpindah ke Jalan Raja Bot. Pejabat Agung kemudiannya berpindah ke Jalan Hamzah, Jalan Raja Uda, Jalan Pekeliling dan Jalan Pahang yang semua berada di sekitar Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Perpindahan Pejabat Agung PAS ini adalah selaras dengan kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Persekutuan Tanah Melayu.

Selain berfungsi sebagai pusat gerakan PAS, Kuala Lumpur juga turut menjadi tuan rumah Muktamar Tahunan PAS semenjak 1956 apabila Kongres Tahunan PAS Ke-.. diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru. Selain itu kongres PAS juga turut diadakan di Stadium Chin Woo, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar antara 1956 hingga hari ini. Muktamar ini walaupun tidak mempunyai apa-apa makna tetapi merupakan satu syiar perjuangan PAS terhadap warga Kuala Lumpur.
Penubuhan PAS Wilayah Persekutuan

Sehingga 1974 semua kawasan dan cawangan PAS di Kuala Lumpur adalah terletak di bawah naungan Perhubungan PAS Negeri Selangor. Segala perkembangan PAS di Kuala Lumpur adalah dikendalikan dan diselia oleh PAS Selangor. Sejarah PAS Kuala Lumpur yang tersendiri bermula apabila Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya pada 1 Februari 1972. Bermula daripada detik ini, desas desus tentang pemisahan Kuala Lumpur daripada Selangor telah kedengaran. Pada 1 Februari 1974, segalanya menjadi kenyataan apabila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan. Pada ketika itu PAS merupakan anggota kerabat Barisan Nasional (BN) sedang dipimpin oleh YB Datuk Mohd Asri bin Muda.

Dengan tertubuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1 Februari 1974, maka Jawatankuasa Agung PAS telah memutuskan untuk menubuhkan Jamaah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan yang kemudiannya dikenali sebagai Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan pada 1974. Ahli Jawatankuasa Agung PAS, Ustaz Abdul Jalil Safwan telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan yang pertama.

Ketika PAS Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 1974, terdapat lima kawasan Parlimen di Kuala Lumpur iaitu Setapak, Kuala Lumpur Bandar, Kepong, Damansara dan Sungai Besi. Dalam usahanya yang pertama, PAS telah berjaya menubuhkan beberapa PAS Kawasan seperti Kawasan Setapak dan Damansara. Walaupun pada peringkat ini, PAS hanya menubuhkan beberapa kawasan sahaja, namun ia merupakan titik mula kepada pergerakan PAS di Wilayah Persekutuan. Pindaan kawasan pilihanraya pada 1977, telah menambahkan jumlah kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan daripada empat kepada …. PAS pula berjaya menubuhkan dua kawasan baru iaitu PAS Kawasan Kepong dan Sungai Besi. Pada tahun 1984, PAS Kawasan Kuala Lumpur Bandar berjaya ditubuhkan.

Pada 1985, sekali lagi kawasan pilihanraya di Wilayah Persekutuan bertambah berikutan perubahan kawasan pilihanraya. Kawasan Setapak telah dipecahkan kepada Kawasan Batu dan Titiwangsa; Kuala Lumpur Bandar pula dikenali sebagai Bukit Bintang; Damansara bertukar nama kepada Lembah Pantai; Kawasan Kepong dan Sungai Besi dikekalkan; Seputeh pula muncul sebagai kawasan baru manakala Kawasan Labuan dibentuk selepas Labuan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1984. PAS telah berjaya menubuhkan PAS Kawasan Batu, Titiwangsa, Lembah Pantai, Bukit Bintang, Kepong dan Sungai Besi.

Pada tahun 1992, sekali lagi berlaku pindaan kawasan pilihanraya dan Wilayah Persekutuan mendapat tambahan tiga kawasan iaitu dua kawasan baru - Wangsa Maju dan Segambut Bandar, manakala kawasan Sungai Besi dipecahkan kepada Bandar Tun Razak dan Cheras. Ketika PAS mengadakan Muktamar Tahunan 1998, semua kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan PAS Kawasan termasuk Labuan.

Menyusuri Kemenangan

Pertumbuhan bandaraya Kuala Lumpur yang begitu pesat sebagai pusat pentabiran kerajaan persekutuan dan perdagangan meyebabkan ia menjadi begitu sesak dan tidak mempunyai ruangan yang cukup untuk perkembangan lanjut. Atas alasan itu, kerajaan persekutuan mencari tapak baru dan Kerajaan Selangor bersetuju menjual sebuah kawasan bernama Prang Besar dalam daerah Sepang.

Justeru pada 19 Oktober 1995, Putrajaya menjadi Wilayah Persekutuan yang ketiga, selepas Kuala Lumpur dan Labuan. Berpegang kepada amanat al-Marhum Dato Hj Fadzil Mohd Noor Mantan Presiden PAS yang juga ADUN Anak Bukit ketika lawatan ke kampong Telok Jawa Alor Setar al-Marhum menyatakan; “Di mana bumi dipijak disitu Islam dijunjung” akhirnya atas semangat itu pada 26 Julai 2004 PAS telah berjaya Ditubuhkan di kawasan Putrajaya.

Rekod penyertaan PAS dalam pilihanraya di Kuala Lumpur telah bermula semenjak Kuala Lumpur masih dalam negeri Selangor iaitu dalam Pilihanraya 1959; 1964; dan 1969. Manakala setelah menjadi Wilayah Persekutuan, PAS menyertai pilihanraya pada 1974; 1978 (Parlimen Damansara); 1982 (Parlimen Setapak dan Damansara); 1986 (Parlimen Batu, Titiwangsa dan Sungai Besi); 1990 (tidak bertanding); 1995 (Parlimen Bandar Tun Razak); 1999 (Parlimen Titiwangsa dan Labuan) 2004 (Parlimen Titiwangsa, Setiawangsa dan Labuan) dan 2008 (Parlimen Titiwangsa, Labuan dan Putrajaya)

Walaupun selama 34 tahun PAS tidak pernah memenangi sebarang kerusi di Wilayah Persekutuan, namun penyertaan dalam pilihanraya ini merupakan suatu pendedahan kepada ahli PAS terhadap erti perjuangan gerakan Islam yang memerlukan kesabaran dalam menghadapi onak dan duri. Pahit manis perjuangan dengan sepak terajang politik, jatuh bangun rebah menyulur dalam arena dakwah di samping kesabaran, kesungguhan dan iltizam yang tinggi akhirnya pada usia mencecah 35 tahun anak Sulong PAS Wilayah Persekutuan yang bernama Titiwangsa berjaya juga dilahirkan pada malam tanggal 8 Mac 2008. Calon Pas YB dr Lolo binti Ghazali menang di Parlimen Titiwangsa mengalahkan calon BN dalam suasana tsunami politik yang dahsyat.

Selain Ustaz Jalil Safwan, beberapa tokoh PAS yang lain turut diamanahkan sebagai Pesuruhjaya untuk menggerakkan PAS Wilayah Persekutuan yang pada ketika itu merupakan Badan Perhubungan PAS yang paling bongsu dan masih mentah. Antara tokoh-tokoh tersebut ialah Tuan Haji Hassan Ishak (1977-1981), Cikgu Mohd Nor Jan (1981-1983), Dr Haji Abbas Alias (1983-1985), Ustaz Nakhaie Ahmad (1987-1989), Tuan Haji Ismail Abdullah (1989-1993), Tuan Syed Ibrahim Abdul Rahman (1993-1997), Tuan Haji Subky Latif (1985-1987 dan 1997-2005) dan Tuan Haji Mohamad Noor Muhammad (2006-sekarang)
Dato Nakhaei Ahmad antara mantan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan yang pergi meninggalkan perjuangan untuk menyertai UMNO.





Anda mungkin juga me

التطورات على مدار الساعة

Berita Semasa

Berita Semasa
Sumbangan PAS WP kepada Negeri Kedah

Berita Semasa

Berita Semasa
Sumbangan PAS WP Kepada Negeri Perlis

Viva Gaza Palestin

Viva Gaza Palestin